Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM114 juta dalam saman lucut hak telah dikembalikan pada Najib, Umno

Umno dan bekas presidennya Najib Razak telah menerima wang berjumlah RM114 juta, selepas pendakwaan gagal melucut hak wang tersebut dalam saman yang difailkannya sebelum ini.

Perkara itu disahkan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Betul. Wang itu telah dikeluarkan dan diterima," katanya.

Difahamkan wang itu diberikan kepada Najib dan Umno pada 17 Jun lalu.

Pada 20 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman lucut hak kerajaan yang menyasarkan RM114 juta yang didakwa berkaitan dengan 1MDB.

Mahkamah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan wang itu dicuci daripada syarikat tersebut.

Ia sebahagian daripada wang tunai, barang kemas dan aset lain bernilai RM680 juta yang disita daripada kondominium di Pavilion Residences, Kuala Lumpur milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 2018.

Obyu adalah defendan tunggal dalam samaan lucut hak utama berkaitan 1MDB. Bagaimanapun, Umno dan Najib menjadi pihak ketiga yang menuntut pemulangan wang RM114 juta itu.

Ketika prosiding pada 20 Mei, hakim Muhammad Jamil Hussin tidak membuat perintah berbangkit (consequential order) dalam keputusan lisannya sama ada RM114 juta itu harus dikembalikan atau tidak.

Saman utama, yang menyasarkan aset-aset dirampas yang lain, masih dalam perbicaraan mahkamah.

Susulan keputusan itu, Najib dilaporkan berkata ia menyangkal tuduhan terhadapnya melibatkan dana 1MDB, yang menurutnya tidak berasas dan tidak dibuktikan.

Selain Umno dan Najib, turut menjadi pihak ketiga yang membuat tuntutan adalah isterinya, Rosmah mansor dan syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL.

Bagaimanapun, tuntutan Rosmah dan syarikat itu belum didengar di mahkamah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS