Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Kenapa dewan kosong parlimen yang dikuarantin, bukan MP?
Diterbitkan:  Aug 5, 2021 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan alasan bangunan parlimen 'dikuarantin' sedangkan ahli parlimen yang pernah berada di dalam dewannya, dibenarkan untuk bergerak bebas.

"Adakah dewan kosong yang menjangkit ataupun manusia terdedah kepada risiko Covid-19 yang menjangkit?

"Jadi, kenapa pula kerajaan kuarantinkan dewan rakyat yang kosong untuk dua minggu tetapi ahli-ahli parlimen yang terdedah dibenar ke sini dan ke sana termasuk menghadap Tuanku (Agong), masuk ofis dan berkali-kali meeting malam di rumah pula?

"Yang dikuarantin dua minggu, dewan kosong. Tetapi ratusan manusia yang terdedah bebas ke mana-mana pula? Data dan sains siapakah yang medorong keputusan ini?

"Covid boleh membiak seperti lipas dalam dewan kosong ke? Langsung tak masuk akal," katanya di Facebook.

Tambahnya, "keputusan pelik" itu adalah antara contoh punca Covid-19 menjadi semakin teruk di bawah pemerintahan PN sehingga menjadi antara yang terburuk di dunia dari segi jangkitan per kapita.

"Sekiranya ahli-ahli parlimen yang terdedah sudah lama bebas ke mana-mana maka ianya selamat untuk membuka semula parlimen sekarang juga sebab dewan kosong tidak menjangkit sesiapa," katanya.

Penggantungan Parlimen oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diumumkan pada hari Sabtu, dengan menyebut risiko Covid-19 sebagai alasan, setelah 11 kes dikesan di Parlimen.

Sejak itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu sidang media bahawa dia telah menyampaikan sejumlah surat dari ahli parlimen Umno kepada Agong, untuk membuktikan bahawa mereka telah menarik sokongan kepada PN, dan menunjukkan 11 termasuk dirinya sebagai antara mereka yang menandatangani surat tersebut.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengadakan sidang media di mana dia mengatakan bahawa dia masih mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Muhyiddin turut menyatakan kesediaan berdepan usul undi percaya di Dewan Rakyat bulan depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS