Paling Popular
Terkini

KATA MP | Perutusan khas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menimbulkan terlalu banyak tanda tanya.

Setelah membaca pernyataan rasmi beliau secara keseluruhannya, saya perlu menyatakan bahawa terdapat terlalu banyak persoalan yang membingungkan dalam fikiran saya.

Sebagai permulaan, pernyataan itu - dengan penuh hormat - mengandungi terlalu banyak fakta yang boleh dipersoalkan.

Malah, boleh dikatakan bahawa pernyataan beliau tersebut menghasilkan lebih banyak persoalan daripada jawapan dan lebih banyak menimbulkan masalah daripada penyelesaian.

Dalam pernyataan rasminya, Muhyiddin mendakwa beliau telah menunjukkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau memiliki majoriti yang cukup maka isu peletakan jawatan sebagai perdana menteri tidak timbul.

Untuk berlaku adil, beliau ada mengakui bahawa hak perlembagaannya untuk berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri telah dipertikaikan.

Apa yang paling membingungkan daripada pernyataan beliau itu adalah mengenai hal yang berikut.

Setelah mendakwa memiliki majoriti yang cukup sebagai perdana menteri, sekali gus membuktikan keabsahan untuk memegang jawatan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin bagaimanapun memilih untuk hanya bersedia membuktikan angka majoriti sokongan tersebut di Parlimen pada September akan datang.

Lebih mengejutkan, menurut Muhyiddin Yang di-Pertuan Agong telah pun memberikan perkenan kepada semua cadangan yang disebutkan di atas.

Persoalan pertama, sekiranya andaian beliau yang mengatakan beliau benar-benar memiliki majoriti seperti yang diperlukan, mengapa harus menunda proses untuk membuktikan majoriti tersebut sehingga September? Mengapa tidak sekarang?

Apakah sebenarnya yang benar-benar menghalang Muhyiddin untuk membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau telah memperolehi majoriti yang cukup, seperti yang digembar-gemburkan itu?

Sebagai seorang perdana menteri yang diketahui amat sukar untuk membuktikan angka majoriti di Parlimen, sehingga menimbulkan keraguan yang sah mengenai kelayakan perlembagaannya untuk memegang jawatan tersebut, pastinya logik jika perkara pertama yang perlu beliau lakukan adalah membuktikan majoritinya sekarang.

Jika beliau dengan penuh yakin menyatakan kepada Yang di-Pertuan Agong yang beliau sudah pun mempunyai majoriti tersebut, kenapa perlu khuatir untuk menguji keabsahan beliau sebagai perdana menteri yang sah sekarang?

Adakah kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sekali lagi ingin cuba menipu atau mengelirukan Yang di-Pertuan Agong?

Lebih parah lagi, kekurangan majoriti sekali gus kehilangan keabsahan beliau di Parlimen kini telah jelas terbukti apabila sejumlah ahli parlimen Umno telah mengumumkan penarikan balik sokongan mereka kepada beliau.

Dengan itu, persoalan mengenai kehilangan majoriti ke atas Muhyiddin adalah tidak boleh disangkal lagi.

Maka, suka atau tidak, beliau tidak lagi mempunyai apa-apa pilihan. Beliau mesti bertindak segera bagi membuktikan majoriti bilangan ahli parlimen yang benar-benar menyokongnya sekarang dan bukan pada September nanti.

Tidak perlu diperingatkan kembali bahawa negara ini amat memerlukan pemerintahan yang stabil khususnya pada waktu genting ini, agar negara ini mampu bergerak keluar daripada kemelut ketidaktentuan politik semasa.

Malaysia perlu meningkatkan semula ekonomi negara dengan menarik pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI). Memperkukuh ekonomi, antara lain, memerlukan keyakinan pelabur.

Rakyat Malaysia sudah tidak mampu membiarkan pemerintah di bawah pimpinan Muhyiddin untuk bertahan walau sehari, jauh sekali sehingga bulan depan.

Pemerintahan yang stabil antara lain diukur dengan perdana menteri yang mempunyai sokongan yang meyakinkan di Parlimen.

Justeru itu, jika isu keabsahan pemerintahan Muhyiddin masih terus-menerus diragui dan dipertikai, adalah mustahak untuk isu-isu tersebut ditangani dengan segera.

Permasalahan melibatkan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditangguhkan dan ia perlu diselesaikan dengan kadar segera.

Malaysia kini sedang diperhatikan oleh seluruh dunia. Adakah kita sudah bersedia untuk menjadi bahan ketawa sekali lagi?

September itu terlalu jauh dan terlalu lewat.


MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah ahli parlimen Sepang dan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS