Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM pada k'jaan: Tangani krisis Covid-19, jangan sibuk urusan 'tawar-menawar'
Diterbitkan:  Aug 4, 2021 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

PSM menjangkakan ahli politik akan sibuk dengan "tawar-menawar" susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini bahawa dia sedia berdepan undi percaya di Dewan Rakyat bulan depan.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata, perkembangan itu tidak seharusnya menjejaskan usaha mengekang wabak Covid-19 yang terus melanda negara.

Dia berkata tempoh sebulan itu akan turut memberi ruang kepada Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Umno.

"Mungkin akan ada usaha untuk menyahstabilkan Umno, dengan presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan mereka yang menyokongnya telah menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

"Apa pun yang berlaku, orang ramai hanya mahu melihat krisis Covid-19 berakhir dan keadaan normal kembali. Orang menderita di saat ahli politik berebut kuasa.

S Arutchelvan

"Ahli-ahli politik ini beritahu rakyat untuk duduk di rumah tetapi mereka terus buat pertemuan di merata tempat, melanggar prosedur operasi standard (SOP) tanpa menerima sebarang akibat.

"Hakikatnya rakyat sudah muak dengan krisis politik dan ahli politik gila kuasa. Mereka rasa kerajaan sekarang telah gagal menangani wabak. Akhirnya Covid-19 yang menentukan nasib kerajaan ini," katanya kepada Malaysiakini.

Arutchelvan juga memberi peringatan kepada keajaan agar tidak mencabuli institusi dan perkhidmatan awam dalam usahanya mengekalkan kuasa.

"PSM berharap semua institusi dan perkhidmatan awam seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan kekal neutral dan tidak membantu menekan prinsip-prinsip demokrasi.

"Prinsip demokrasi sentiasa dikorbankan apabila parti pemerintah berdepan krisis. Kita telah lihat ia berlaku dalam pentadbiran terdahulu," katanya lagi.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini, Muhyiddin menegaskan dia masih mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen dan sedia menentukan keabsahan pentadbirannya menerusi undi percaya di Dewan Rakyat.

Ia susulan pengumuman Zahid bahawa terdapat "cukup" ahli parlimen Umno yang menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin.

Selain Zahid, terdapat 10 orang lagi ahli parlimen Umno yang menyertai sidang media itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS