mk-logo
Berita
Laut China Selatan mesti kekal perairan aman, stabil - Hisham
Diterbitkan:  Aug 4, 2021 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Malaysia telah menegaskan kepentingan kerjasama serantau bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai perairan aman dan stabil.

Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu adalah antara isu yang ditekankan beliau pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean - Amerika Syarikat (AMM-AS) yang berlangsung secara maya pagi ini.

AMM-AS merupakan antara siri mesyuarat semasa berlangsungnya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-54 (AMM) dengan Hishammuddin mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat maya itu dari Putrajaya,

“Semua pihak mesti terus bekerjasama untuk pastikan Laut China Selatan mesti kekal sebagai perairan aman dan stabil.

“Malaysia tegas, kestabilan serantau amat penting bagi setiap negara apatah lagi di era pandemik yang serba mencabar ini,” kata beliau dalam catatan terkini di laman Facebooknya hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri menteri-menteri luar Asean dan Setiausaha Negara AS Antony Blinken.

Hishammuddin berkata Malaysia juga menekankan pada isu jenayah rentas sempadan dan ia bukan masalah yang boleh diselesaikan sendiri oleh mana-mana pihak.

“Ia perlukan kerjasama bersepadu antara negara. Dalam konteks ini, Asean-AS mesti terus berkongsi tekad untuk menanganinya secara lebih efektif,” kata beliau.

Menyentuh mengenai isu Palestin-Israel, katanya, komuniti antarabangsa mesti terus melaksanakan pendekatan serius bagi mencari penyelesaian berpanjangan dalam isu Palestin-Israel.

“Di pihak Malaysia, sokongan terhadap Palestin tidak akan berganjak dan Malaysia akan terus membantu terutama dari sudut kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza,” kata Hishammuddin.

Antara mesyuarat yang disertai Hishammuddin adalah Mesyuarat Menteri–Menteri Luar Asean+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22); Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ); Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan Asean (APSC) ke-23; dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan Asean (ACC) ke-29.

Lain-lain mesyuarat ialah Mesyuarat Menteri–Menteri Luar Asean–ROK; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar Asean-China; Mesyuarat Menteri–Menteri Luar Asean–Jepun; dan Mesyuarat Menteri–Menteri Luar Asean–Australia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS