story images
story images
mk-logo
Berita
Lepas rumah PM, Ismail Sabri ke Seri Pacific pula
Diterbitkan:  Aug 3, 2021 10:16 PM
Dikemaskini: 5:31 PM

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di Hotel Seri Pacific tengah malam ini dipercayai untuk bertemu dengan sekumpulan ahli parlimen Umno yang mahu mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dia tiba di kawasan hotel tersebut kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Antara ahli parlimen yang sudah sedia menunggu di situ ialah Shahidan Kassim (Arau), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dan Nazri Aziz (Padang Rengas).

Maklumat awal menyatakan Shahidan sedang mengumpul sejumlah ahli parlimen Umno untuk menyatakan sokongan kepada PN dalam pertemuan di bangunan terletak bersebelahan dengan Ibu Pejabat Umno Malaysia.

Sebelum itu Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno dilihat berkunjung ke rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur bersama beberapa menteri kanan.

Turut dilihat hadir di kediaman presiden Bersatu itu ialah Peguam Negara Idrus Harun.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Zahidi berkata mereka sedang cuba mengumpulkan sokongan untuk kerajaan yang diketuai Muhyiddin.

Ditanya sama ada pertemuan tersebut turut melibatkan ahli parlimen BN, Zahidi berkata: "Tidak, hanya Umno."

Terdahulu beberapa jam selepas sejumlah ahli parlimen Umno menyatakan pendirian mereka untuk tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, kediamannya dikunjungi sejumlah tokoh berprofil tinggi.

Antara pemimpin parti kerajaan yang ada ialah Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tidak ketinggalan Menteri Pendidikan merangkap Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Bersatu Rina Harun, Presiden MIC SA Vignewswaran and Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Pertemuan lewat malam itu diadakan selepas Presiden Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan dia sudah menyerahkan bukti kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan Muhyiddin yang didakwanya tidak lagi mendapat sokongan majoriti di parlimen.

Petang tadi Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah, menjadi anggota kabinet pertama menyahut gesaan Umno agar melepaskan jawatan daripada kerajaan seperti diputuskan parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS