Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis Muda antara dipanggil polis berhubung demo #Lawan
Diterbitkan:  Aug 3, 2021 3:28 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Aktivis Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) antara 10 individu yang disoal siasat polis hari ini berhubung perhimpunan #Lawan Sabtu lalu di Kuala Lumpur yang menuntut pengunduran Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Mereka memberikan keterangan selama lebih dua jam di ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Setiausaha agung pro-tem Muda, Amir Abd Hadi yang turut disoal siasat berkata mereka memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa itu.

"Pihak polis juga memberikan kerjasama baik dengan kita dan semuanya berjalan dengan lancar. 

"Di dalam (ketika siasatan) ditunjukkan banyak lagi gambar (individu) yang kemungkinan akan dipanggil pihak polis," katanya dalam sidang media di hadapan IPD berkenaan.

Semalam, polis menyoal siasat 11 peserta dan aktivis yang terlibat dalam perhimpunan berkenaan.

Mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Berjangkit (PPPDPB) (Langkah-langkah di Kawasan Jangkitan Tempatan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Amir dalam pada itu mengulangi tuntutan perhimpunan pada Sabtu lalu yang meminta agar Muhyiddin meletakkan jawatan.

Sementara itu turut disoal siasat hari ini ialah naib presiden PKR, Tian Chua.

Tian Chua berkata dia tidak terlibat dalam menganjurkan perhimpunan itu tetapi datang untuk memberikan sokongan kepada anak-anak muda.

"Mereka berisiko bukan saja ditangkap tapi terdedah kepada pandemik, tetapi atas keprihatian masa depan negara, kita lihat generasi anak muda sekarang  tunjukkan bagaimana mereka peduli tentang nasib negara.

"Itulah sebabnya saya memberikan sokongan kepada mereka. 

"Apabila rakyat tidak ada forum yang boleh menyuarakan pandangan dan masalah negara, ada satu jalan sahaja iaitu jalan raya," katanya.

Turut disoal siasat termasuk naib presiden pro-tem Muda Dr Thanussha Francis Xavier dan anggota jawatankuasa eksekutif protem Muda Dr Teo Lee Ken dan Dr Mathen Nair serta Sharan Raj dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS