Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zuraida: Agong boleh dapatkan penjelasan sebelum keluarkan kenyataan
Diterbitkan:  Aug 3, 2021 3:08 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan ordinan darurat pada 29 Julai lalu adalah tidak "tidak wajar" (not proper), menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata Yang di-Pertuan Agong, yang perlu menurut nasihat kabinet dalam kebanyakan perkara, boleh mendapatkan penjelasan daripada kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.

Dia berkata demikian dalam rancangan bual bicara bahasa Inggeris, Consider This di Astro Awani malam tadi.

Menjawab soalan pengacara berkenaan pembatalan ordinan darurat, Zuraida berkata sebagai anggota dalam kabinet, dia yakin ia dibuat dengan proses yang betul.

"(Malaysia adalah) raja berperlembagaan di mana (raja) perlu mendapat nasihat kabinet dan perdana menteri tentang apa sahaja.

"Saya sedikit kecewa. Apa saja yang mereka tidak jelas, mereka seharusnya menghubungi Pejabat Perdana Menteri. (Lebih-lebih lagi) perdana menteri (mengadap Agong) sekali seminggu sebelum mesyuarat kabinet," katanya.

Zuraida menjelaskan yang kebinet memutuskan untuk membatalkan ordinan darurat pada 21 Julai dan - berdasarkan proses yang ada - membawa keputusan itu kepada Agong.

"Agong seharusnya mendengar apa yang disyorkan oleh kabinet. Sepatutnya ada perbincangan dan libat urus.

"Tidak harus ada sebarang kenyataan awam yang saya fikir tidak wajar (not that proper) dalam sistem raja berperlembagaan," katanya lagi.

Perkara 40 (1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seseorang menteri kecuali seperti yang diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini; tetapi Agong berhak - atas permintaannya - untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan persekutuan.

Perkara 40 (1A) pula menyatakan, semasa menjalankan fungsinya mengikut perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Berdasarkan Perkara 150, Agong juga berkuasa untuk mengisytiharkan darurat.

Pada Oktober tahun lalu, Agong menggunakan kuasanya untuk menolak permintaan Putrajaya mengisytiharan darurat.

Ketika dinyatakan bahawa persetujuan istana diperlukan untuk sebarang undang-undang, Zuraida tidak setuju.

"Jika penasihat undang-undang Agong sangat cermat dalam pentafsiran (undang-undang), dia akan tahu yang walaupun Agong tidak setuju, dalam masa 30 hari ia akan selesai atau memakan masa enam bulan.

"Jadi, perbahasan tentang perkara ini membazir masa memandangkan kita tahu akhirnya bergantung kepada kerajaan dan kabinet untuk memutuskan dan Agong perlu mendengarnya.

"Jika (istana) perlu penjelasan, kita akan jelaskan. Itulah yang seharusnya," kata Zuraida.

Zuraida Kamaruddin

Tempoh 30 hari yang dinyatakan Zuraida mungkin merujuk kepada Perkara 66(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Agong "hendaklah dalam masa 30 hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Mohor Besar dicapkan pada Rang Undang-Undang itu".

Perkara tersebut merujuk khusus kepada rang undang-undang yang diluluskan di Parlimen. Tidak jelas jika ordinan darurat turut terpakai dalam Perkara tersebut.

Berkenaan tempoh enam bulan, Zuraida merujuk Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan jika tidak dibatalkan menerusi Parlimen, ordinan darurat akan berhenti berkuat kuasa selepas enam bulan tamatnya darurat.

Apabila ditanya berkenaan kenyataan Agong yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan telah mengelirukan dewan rakyat berkenaan perkara itu, Zuraida mempertahankan Takiyuddin.

"Jika anda dengar dengan cermat apa yang dikatakan - perkataan demi perkataan - dia tidak berkata apa-apa tentang ordinan. Dia kata kabinet telah membatalkan ordinan pada 21 Julai.

"Jadi itu keputusan kabinet. Tiada apa yang salah," katanya lagi.

Pada 29 Julai lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan yang tegas kepada eksekutif. Antara lain, ia berkata Agong "sangat dukacita" dengan Takiyuddin yang berkata ordinan darurat telah dibatalkan di saat perkenan belum diberikan.

Agong sebaliknya bertitah yang ordinan tersebut perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memenuhi Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Jika perbahasan dibuat, ia akan membawa kepada undian untuk menentukan pembatalan ordinan tersebut dan berisiko mendedahkan tahap sokongan yang dimiliki Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS