Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Patriot: Mengapa bangunan tentera jadi tempat pertemuan MP BN?
Diterbitkan:  Aug 3, 2021 12:52 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mempersoalkan langkah ahli parlimen BN mengadakan perjumpaan di bangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu Wisma Perwira di Kuala Lumpur.

"Patriot membantah tindakan mengadakan pertemuan politik di premis angkatan tentera.

"Soalan yang perlu ditanya adalah - mengapa bangunan mes (tempat tentera beristirahat dan mengadakan pertemuan) ATM digunakan untuk agenda politik? Mengapa 'pertemuan rahsia' ini tidak dibuat di ibu pejabat Umno di PWTC?" soal presidennya Arshad Raji dalam kenyataan hari ini.

Menurut sumber Umno semalam, seramai lebih 25 anggota parlimen BN hadir dalam pertemuan Ahad malam itu, untuk menandatangani perakuan berkanun (SD) menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dia berkata pertemuan itu diketuai timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz kemudian mengesahkan perkara itu tetapi menjelaskan apa yang ditandatangani adalah "surat akuan mempertahankan PN" dan bukannya SD.

Arshad Raji

Dalam pada itu, Patriot turut mengecam Ismail Sabri, yang juga menteri pertahanan, kerana membenarkan pertemuan politik diadakan di situ.

"Ahli veteran Patriot yang merupakan pesara pelbagai jawatan dalam Kementerian Pertahanan akan bersetuju bahawa seorang menteri pertahanan perlu memahami yang angkatan tentera bukan saja perlu kekal tidak berunsur politik, tetapi perlu dilihat sedemikian.

"Tindakan membenarkan 'pertemuan rahsia' di kalangan ahli politik di kompleks angkatan tentera bersamaan dengan mengheret angkatan tentera ke dalam kancah politik," katanya.

Arshad juga mendakwa semua kegiatan di situ perlu mendapat kebenaran presiden jawatankuasa mes dan mempersoalkan jika pertemuan itu ada mendapatkannya.

"Jika ada kebenaran, presiden telah menyimpang dan pastinya mencetuskan kemarahan di kalangan anggota dalam angkatan tentera," katanya lagi.

Dia juga menegaskan agar perkara itu yang "menjejaskan imej ATM" tidak lagi berlaku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS