Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perarakan MP pembangkang boleh risikokan orang ramai - MP Jelebu
Diterbitkan:  Aug 2, 2021 5:39 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias ​mengkritik perarakan oleh anggota parlimen pembangkang yang berlangsung pagi tadi, dengan mengatakan tindakan itu berisiko menyebabkan penularan Covid-19 kepada orang lain.

"Tindakan berkumpul di Dataran Merdeka pagi tadi bukan sahaja merisikokan para ahli parlimen, tetapi juga pihak berkuasa, pengamal media dan penyokong yang turut sama hadir.

"Tambahan pula, ada laporan berita yang mengatakan bahawa ada ahli parlimen yang sepatutnya menjalani kuarantin kerana pegawai beliau disahkan positif Covid-19, varian Delta.

"Mengapa masih mahu terlibat dalam perhimpunan jika diri sendiri sudah terdedah kepada risiko terjangkiti dan menjangkiti?" katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Umno itu berkata, dia juga menyokong dan mendokong demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.

Namun, dia menambah bahawa semuya pihak perlu akur dengan situasi Covid-19 ketika ini.

"Saya juga mahu parlimen bersidang, kerana banyak isu-isu berkaitan rakyat yang saya ingin utarakan dan perlu kita bahas untuk ditambah baik.

"Namun begitu, kita harus akur dan faham dengan keadaan dan realiti semasa. Penyebaran Covid-19 di kawasan parlimen perlu kita kawal dan cegah dengan sangat berhati-hati," katanya.

Jalaluddin mendakwa bahawa rata-rata pengguna media sosial yang berkomentar mengenai perarakan itu menyatakan kekecewaan terhadap ahli parlimen yang berkumpul tanpa pematuhan SOP, sedangkan mereka telah berkurung di rumah sekian lama.

"Jika ada ketidakpuasan hati, gunakanlah segala medium yang ada seperti media sosial untuk memberikan pandangan dan kritikan.

"Janganlah merisikokan diri dan orang ramai dengan berkumpul secara beramai-ramai seperti itu," katanya.

Pagi ini, sejumlah ahli parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur selepas dihalang masuk ke kawasan parlimen.

Penangguhan itu diumumkan pada hari Sabtu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menyebut risiko Covid-19 setelah 11 kes dikesan di Parlimen.

Muhyiddin tidak memberikan tarikh persidangan akan disambung semula.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS