Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
11 disiasat demo #Lawan, penganjur tegaskan patuh SOP
Diterbitkan:  Aug 2, 2021 4:42 PM
Dikemaskini: 2:07 PM

Sebelas peserta demonstrasi #Lawan telah disoal siasat oleh polis hari ini.

Peguam utama Rajsurian Pillai memberitahu Malaysiakini bahawa 11 peserta dipanggil ke ibu pejabat polis Dang Wangi pagi ini untuk mengambil keterangan mereka, dan kebanyakan mereka dibebaskan pada pukul 12.30 tengah hari.

"Tidak ada yang dipanggil kembali (untuk soal siasat lebih lanjut). Sekiranya ada, kami akan beri kerjasama sepenuhnya,” kata peguam itu, sambil menambah bahawa tidak ada kompaun yang dikeluarkan.

Rajsurian mengatakan bahawa dia menjangkakan lebih ramai akan dipanggil oleh polis untuk disiasat kerana Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani semalam mengesahkan 29 individu dikenal pasti dalam tunjuk perasaan itu.

"Lebih ramai yang dapat dikenal pasti kemudian ketika polis sedang meneliti video dan gambar peristiwa tersebut dan berusaha untuk mengecam wajah mereka," kata Rajsurian.

Para peserta disiasat di bawah Akta 342 dan Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Berjangkit (PPPDPB) (Langkah-langkah di Kawasan Jangkitan Tempatan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 dan akta lain yang berkaitan.

'SOP ketat dipatuhi semasa tunjuk perasaan'

Rajsurian juga berkongsi kenyataan anak guamnya, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), yang merupakan penganjur demonstraso yang berlangsung Sabtu lalu di Kuala Lumpur.

Sambil mengecam siasatan oleh polis, SSR menegaskan bahawa protes itu dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

SSR membidas kerajaan kerana mengamalkan pilih kasih dalam menguatkuasakan SOP.

"Seperti yang telah kami tekankan, himpunan itu dilakukan dengan SOP yang ketat dan bahkan Suhakam telah mengesahkan bahawa perhimpunan tersebut mematuhi SOP dan semua peserta mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Kami ingin menekankan bahawa protes Keluar dan #Lawan tidak dilakukan hanya untuk suka-suka seperti kenduri durian timbalan speaker Dewan Rakyat atau pertemuan politikus di rumah perdana menteri, yang jelas diadakan di tempat tertutup," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu merujuk kepada insiden baru-baru ini yang didakwa melanggar SOP melibatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan timbalan speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan mengatakan bahawa sudah waktunya bagi pihak berkuasa untuk menghentikan amalan menyiasat perhimpunan awam.

"Sudah tiba masanya polis dan AG (peguam negara) mempertimbangkan semula SOP dan menghentikan amalan usang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik jumlah tugas polis susulan tunjuk perasaan lain yang terjadi pagi ini, Arutchelvan berpendapat bahawa siasatan tidak diperlukan dan sumber-sumber polis dapat dikerahkan di tempat lain.

"Ironinya keseluruhan amalan ini adalah membuang masa polis dan merupakan kesalahan birokrasi yang tidak memberi kebaikan kepada siapa pun.

"Sudah tiba masanya IGP baru mengemukakan satu set SOP baru untuk perhimpunan awam yang saya yakin para pegawainya sendiri akan lega tanpa beban menyiasat perhimpunan tersebut dan mereka dapat fokus pada penghapusan jenayah," tambah Arutchelvan.

Anggota jawatankuasa pusat PSM Sharan Raj juga telah dipanggil oleh polis untuk disiasat esok atas penyertaannya dalam demonstrasi #Lawan.

Sementara itu, Badan Peguam Malaysia berkata pihaknya kecewa dengan siasatan polis terhadap penunjuk perasaan.

"Walaupun Badan Peguam Malaysia sepenuhnya mengakui bahawa kesihatan dan keselamatan masyarakat harus diutamakan ketika ini, kami tetap berpegang dengan pendirian bahawa dialog dan komunikasi terbuka tidak boleh dihalang.

"Hak-hak perlembagaan di bawah Perkara 10 tidak boleh dikorbankan ketika pandemik selagi tindakan kesihatan yang memadai digunakan.

"Rakyat harus diizinkan untuk menyatakan perbezaan pendapat mereka, kerana kemampuan untuk menyuarakan perbezaan pendapat adalah ciri demokrasi yang berfungsi," kata Presiden Badan Peguam Malaysia AG Kalidas dalam satu kenyataan.

Dia menambah bahawa polis seharusnya membantu orang ramai patuh terhadap langkah-langkah keselamatan sesuai dengan Akta Perhimpunan Aman 2012, dan bukannya dilihat mengganggu hak orang ramai untuk berkumpul secara aman.

Dia mendesak polis untuk tidak mengambil tindakan terhadap aktivis dan penunjuk perasaan.

"Hak dan kebebasan awam mesti ditegakkan, tidak kira sama ada kita berada dalam wabak atau tidak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS