Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Sarawak dalam tempoh 60 hari lepas proklamasi darurat dibatalkan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai mengenai pengisytiharan proklamasi itu oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh negeri Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Feb 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ikmalrudin, satu ordinan dimasyhurkan oleh Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 PU (A) 324.

Katanya mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN itu yang sepatutnya terbubar selepas lima tahun dari mesyuarat pertamanya, tidak mempunyai kesan berdasarkan Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat itu.

DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas selepas cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Bagaimanapun peruntukan itu tidak dapat berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS