Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tukang rumah dipenjara 5 tahun kerana miliki ekor ikan pari

Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini, atas kesalahan memiliki senjata berbahaya iaitu ekor ikan pari.

Abdul Halim Samsuddin - yang tidak diwakili peguam - mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 26 tahun itu didakwa memiliki senjata berbahaya berupa ekor ikan pari berukuran lebih kurang 114 sentimeter tanpa maksud yang sah di tempat awam, iaitu di kawasan semak tepi Sungai Kelantan, Kampung Sat, Tanah Merah, jam 2 petang, pada 26 Julai lalu.

Mengikut fakta kes, ketika pihak polis membuat serbuan di belakang bengkel lori didapati Abdul Halim berada di dalam kereta Proton Persona di lokasi kejadian bersama seorang lagi individu lain.

Polis memperkenalkan diri dan tertuduh keluar dari kereta serta cuba melarikan diri ke dalam semak sebelum berjaya ditahan.

Pemeriksaan lanjut menemui senjata berbahaya tersebut di dalam poket seluar sebelah kanan tertuduh, selain gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 10 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Hajarul Falenna memohon hukuman setimpal dan boleh menyedarkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu serta memberi pengajaran kepada orang awam.

Katanya, memiliki ekor ikan pari di tempat awam dan boleh menyebabkan kecederaan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara lima tahun yang bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Julai 2021 dan satu sebatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS