mk-logo
Berita
Pemuda PAS lapor polis penyebaran 'warkah Agong pada PM'
Diterbitkan:  Aug 1, 2021 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Pemuda PAS memandang serius kebocoran surat yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung kekeliruan pembatalan Ordinan Darurat.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata oleh itu satu laporan polis akan dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan untuk mengenal pasti punca kebocoran surat berkenaan.

Jelasnya, penyebaran surat yang bertarikh 29 Julai lalu itu adalah suatu perkara yang amat serius dan boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

Katanya, jika benar surat tersebut wujud, ia tentunya merupakan surat rahsia dan terhad dan sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu perdana menteri.

"Pemuda PAS Malaysia memandang serius perkara ini dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenal pasti punca kebocoran surat ini.

"Suatu laporan polis akan dibuat bagi menggesa siasatan dibuat, untuk melihat samada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS negeri dan kawasan untuk membuat laporan polis tersebut," katanya pada satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Dua hari lalu, tersebar warkah yang dikatakan daripada Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat.

Menerusi warkah bertarikh 29 Julai 2021 yang tular di media sosial itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipercayai memaklumkan kronologi berhubung pembatalan semua ordinan-ordinan berkenaan.

Warkah itu dipercayai menjawab surat yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri berhubung kekecewaan Agong berkait pembatalan ordinan darurat.

Pada 29 Julai, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan tindakan mereka membatalkan ordinan darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.

Menurut kenyataan PMO kerajaan sudah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu.

Kata PMO, mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

Ahmad Fadhli berkata, tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum yang turut dimuat naik oleh sebahagian pimpinan pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.

"Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika," katanya.

Katanya lagi, tindakan berkenaan juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan di kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah berlakunya krisis di antara istana dan eksekutif.

"Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS