Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M senaraikan tokoh cadangan anggotai Majlis Pemulihan Negara
Diterbitkan:  Jul 31, 2021 3:51 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyenaraikan nama-nama yang difikirkannya sesuai menganggotai badan ala Mageran, Majlis Pemulihan Negara (MPN) khusus untuk menangani wabak Covid-19.

Nama-nama yang disenaraikannya itu melibatkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang merangkumi perubatan, ekonomi, perundangan, pendidikan dan politik.

Ini selepas kerajaan PN menubuhkan Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan menteri penyelarasnya Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurut ahli parlimen Langkawi cadangan MPN ini pertama kali dibentangkan olehnya kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari Khamis, 10 Jun lepas.

"Ketika saya memberi cadangan penubuhan MPN kepada Yang di-Pertuan Agong, saya telah memikir secara amat mendalam keahlian badan itu yang saya yakin dapat membantu Negara mengatasi krisis ini selain menyediakan rancangan jangka panjang pemulihan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Katanya, cadangan penubuhan MPN ini timbul kerana rata-rata terdapat sentimen kerajaan PN "sudah gagal amat meluas dan krisis semakin bertambah."

Dr Mahathir juga berkata mereka yang dinamakan dalam MPN versi cadangannya itu tidak tahu atau bersetuju mengenai keanggotaan dalam badan yang berasaskan khidmat negara tersebut.

Kata Mahathir, MPN perlu menghadkan keahlian tidak lebih 20 orang, supaya "keputusan dan tindakan dapat dibuat dengan cepat."

"Nama-nama yang hendak saya cadang dan kenapa saya cadang mereka adalah seperti berikut: Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Lin See Yan, Tan Sri Mohd Hassan Merican Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Prof Dr Jomo K Sundram.

"Selain itu, dalam bidang perubatan, saya mencadangkan: Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, Datuk Dr Musa Nordin, Datuk Dr Amar Singh HSS, Dr Kumitaa Theva Das.

"Saya juga ingin mencadang beberapa pakar perundangan yang perlu untuk memastikan segala tindak-tanduk MPN itu tidak mencabar kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara: Prof Emeritus Datuk Shad Faruqi, Prof Dato’ Salleh Buang.

"Untuk mengatasi masalah pendidikan, saya bercadang memberi penekanan kepada pembelajaran dari rumah dan menggunakan televisyen dan program-program yang dirakam oleh ahli-ahli akademik, guru-guru dan pendidik terbaik supaya ibu bapa mudah membantu anak mereka dan ini dapat dirangka oleh: YAM Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid, Samuel Isaiah," katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Mahathir berkata beberapa ahli politik yang dicadangkannya tidak boleh terikat dengan parti mereka.

"Saya juga ingin cadangkan beberapa nama ahli politik untuk menyertai MPN dan mereka dipilih bukan kerana politik kepartian tetapi di atas beberapa usaha yang telah mereka lakukan: Datuk Seri Azalina Othman Said, Hannah Yeoh, Ahmad Fahmi Fadzil, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS