mk-logo
Berita
BN Pahang mahu PM, menteri mohon ampun pada Agong
Diterbitkan:  Jul 29, 2021 10:18 PM
Dikemaskini: 2:18 PM

BN Pahang berpendapat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya Wan Rosdy Wan Ismail berkata hal itu kini amat jelas selepas apa yang berlaku membabitkan penzahiran rasa amat kecewa Agong pada pagi tadi.

"Umpama sudah terang lagi bersuluh, tiada pilihan yang ada kepadanya kecuali permohonan keampunan ke sisi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, serta tindak balas sewajarnya perlu diambil oleh perdana menteri serta menteri yang bertanggung jawab mengenainya," kata Wan Rosdy dalam kenyataan dibuat malam ini.

Menteri besar Pahang itu mengulas perkembangan yang berlaku hari ini apabila Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berasa amat dukacita dengan cara kerajaan Perikatan Nasional membatalkan ordinan darurat tanpa perkenan baginda.

Agong juga menyatakan rasa amat dukacita apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dianggap mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataannya di parlimen.

Bagaimanapun lewat petang tadi Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengeluarkan kenyataan mendakwa kabinet sudah memaklumkan hal itu serta nasihat berkenaannya kepada Agong.

PMO juga menyalahkan pembangkang kerana didakwa bertanggungjawab menyebabkan kekeliruan berhubung pembatalan ordinan tersebut.

Untuk rekod desakan agar kerajaan menjelaskan mengenai pembatalan ordinan darurat itu bukan saja dibuat ahli parlimen pembangkang, malah turut disuarakan pemimpin Umno. 

Wan Rosdy berkata BN Pahang teramat sedih dan sangat kesal dengan kejadian itu kerana ia jelas membelakangkan kuasa Agong serta prinsip kedaulatan undang-undang.

"Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

"Dalam hal ini, yang terlajak bukan setakat tutur kata malah dalam tindakan sehingga mengelirukan rakyat jelata.

"Oleh itu BN Pahang menuntut agar kerajaan pusat mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan yang sangat nyata ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS