Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM sudah nasihatkan Agong berkenaan pembatalan ordinan darurat - PMO
Diterbitkan:  Jul 29, 2021 7:31 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini mempertahankan tindakan mereka membatalkan ordinan darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kerajaan sudah menasihatkan yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu.

Kata PMO, mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

"Oleh kerana darurat tidak disambung jemaah menteri memutuskan untuk menasihati Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh tuanku sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

"Susulan ketetapan ini PMO pada 22 Julai telah menerima draf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan Jabatan Peguam Negara.

"Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan Agong dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai 2021," kata kenyataan itu.

Menjelaskan kedudukan itu PMO berkata selepas Majlis Raja-raja berpendapat tiada keperluan darurat disambung selepas 1 Ogos dan parlimen perlu bersidang segera, kerajaan mengadakan "perbincangan teliti" pada 21 Julai.

Selain membuat keputusan untuk menasihati Agong berkenaan pembatalan ordinan darurat, PMO berkata, kabinet juga memutuskan untuk tidak menasihatkan Agong membuat prokalamasi darurat baru.

Pembangkang timbulkan kekeliruan 

Pada 23 Julai pula kata PMO, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengutus surat kepada Agong bagi menyembah maklum nasihat kabinet mengenai pembatalan ordinan terbabit dan memohon limpah perkenan baginda mengenainya.

PMO juga memetik Perkara 40 (1) dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai isu tersebut.

"Susulan itu Agong menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Takiyuddin Hassan) dan Peguam Negara (Idrus Harun) menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara tersebut.

"Apabila mesyuarat khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai semua ordinan darurat dibentangkan di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Namun kata PMO ahli parlimen pembangkang mendesak agar mengungkaikan ordinan darurat berkenaan.

Selepas itulah kata PMO, Takiyuddin memaklumkan kepada dewan terbabit mengenai keputusan kerajaan untuk membatalkan ordinan berkenaan.

Muhyiddin juga, katanya, menghadap Agong bersama Idrus pada jam 12 tengah hari 27 Julai bagi menjelaskan kedudukan tersebut.

Semasa sesi menghadap itu, menurut PMO, perdana menteri sekali lagi memberikan nasihat kepada baginda mengenai ordinan darurat tersebut serta "kekeliruan yang ditimbulkan pembangkang" semasa Dewan Rakyat bersidang.

"Perdana menteri juga menyembah maklum pandangan kerajaan bahawa semua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh parlimen memandangkan jemaah menteri sudah menasihati Agong untuk membatalkannya.

"Di samping itu sidang parlimen yang berlangsung adalah mesyuarat khas yang diadakan mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya ialah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat," katanya.

"Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

"Justeru beliau menasihatkan rakyat supaya bertenang dan insya-Allah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS