Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tangguh sidang kerana Covid-19 cuma 'helah' kerajaan, kata Anwar
Diterbitkan:  Jul 29, 2021 4:30 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

PARLIMEN | Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata pengumuman sidang Dewan Rakyat yang ditangguhkan sehingga jam 5.15 petang ini kerana terdapat kes positif Covid-19 dikesan di parlimen cuma helah kerajaan.

"Ini yang saya katakan helah tadi. Padahal, kita boleh saja lakukan saringan tanpa mempersulitkan perjalanan parlimen," kata Anwar dalam sidang media di Parlimen sebentar tadi.

Terdahulu, Anwar mengadakan sidang media untuk menyatakan pandangan pihaknya berhubung situasi semasa politik negara.

Bagaimanapun ia terhenti seketka apabila pihak Parlimen membuat pengumuman bahawa setiap wakil rakyat yang hadir diminta menjalani ujian saringan RTK Antigen (RTK-Ag) dengan kadar segera.

Sidang Dewan Rakyat sebelum ini ditangguhkan dua kali ketika keadaan sebenar masih tidak dapat dipastikan ekoran kenyataan dikeluarkan Istana Negara tengah hari.

Bagaimanapun, ketika orang ramai menanti perkembangan terbaru di parlimen kesan daripada kenyataan dibuat Istana Negara, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata, sidang hanya akan disambung pada jam 3.30 petang.

Lazimnya Dewan Rakyat bersidang semula pada jam 2.30 petang selepas tamat waktu rehat dan makan tengah hari.

Namun, sidang Dewan Rakyat sekali lagi ditangguhkan ke jam 5.15 petang ini apabila timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon, mengumumkan ada dua kes positif Covid-19 dikesan di parlimen.

Mohd Rashid Hasnon berkata, kes pertama membabitkan seorang petugas parlimen yang berada di bangunan tersebut pada 26 hingga 28 Julai, manakala kes kedua dikesan positif pada hari ini.

Katanya maklumat itu dimaklumkan kepada parlimen melalui surat Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Berdasarkan surat itu, katanya, penilaian risiko daripada siasatan awal menunjukkan kedua-dua kes tersebut dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar parlimen.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS