Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mempertahankan waktu sidang parlimen pada jam 5.30 petang meskipun ahli parlimen mendesak mahukan lebih banyak masa untuk berbahas dan mendapatkan jawapan daripada kerajaan.
Mempertahankan keputusannya itu, Azhar berkata waktu sidang berakhir pada pukul 5.30 petang sebenarnya jauh lebih panjang daripada yang dinasihatkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
"Saya nak terang sikit pasal masa ni, sebenarnya kita sudah tidak menuruti nasihat dan syor-syor Pengarah Kesihatan yang susah payah datang parlimen untuk beri penekanan.
"Kalau ikut nasihat atau recommendation beliau, kita bersidang hingga 2 petang saja, sebab beliau amat gusar dan bimbang tentang Covid-19 ada di parlimen.
"Semalam hingga hari ini kita ada lagi empat kes, jadi risiko agak tinggi, sebab itu saya tetap 5.30 petang untuk beri semua waktu untuk bahas, kalau pihak menteri nak consider, saya serah kepadanya (untuk melanjutkan tempoh selepas 5.30 petang)," kata Azhar.
Dia membalas permintaan Shamsul Iskandar Md Akin (Pakatan Harapan- Hang Tuah Jaya) supaya tempoh waktu persidangan harian sesi Dewan Rakyat sekarang dilanjutkan.
Terdahulu, Shamsul membangkitkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat mengenai tempoh persidangan.
"Saya ingin bawa hasrat rakan sebelah sini (pembangkang).
"Sepanjang beberapa hari ini, kami tidak berpeluang untuk bahas secukupnya kerana kita telah tidak bersidang 221 hari, dan ini peluang yang ada ni, banyak perkara nak dibahaskan," kata ahli patlimen itu.
Sidang Parlimen Khas selama lima hari, yang pertama tahun ini, diadakan setelah darurat di seluruh negara diisytiharkan pada bulan Januari untuk menangani wabak Covid-19.
Parlimen digantung semasa darurat yang dijangka tamat pada 1 Ogos.
Dua anggota parlimen dan 12 kakitangan parlimen diuji positif untuk Covid-19 baru-baru ini.