Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semasa pentadbiran saya, ordinan darurat dibatal ikut proses undang-undang'

PARLIMEN | Bekas perdana menteri Najib Razak berkata ketika era pentadbirannya, pembatalan proklamasi darurat serta ordinannya dibuat mengikut proses yang betul.

Kenyataan itu selepas kekeliruan yang tercetus susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan semalam bahawa enam peraturan ordinan darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

"Jika dibatalkan, ia perlu mengikut proses undang-undang, bermakna Kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong, dan Agong memperkenan dan ia diwartakan. Selepas itu baru ia selesai, dari segi undang-undang.

"Kita telah melakukannya. Ketika pentadbiran saya, ordinan darurat yang dibatalkan mengikut proses ini.

"Ordinan perlu dibawa ke kedua-dua Dewan (Rakyat dan Negara)," kata Najib dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu hari ini, ahli parlimen pembangkang menggesa Takiyuddin menjawab sama ada Agong telah memperkenan pembatalan peraturan ordinan darurat atau tidak.

Bagaimanapun dia dilihat mengelak daripada memberikan jawapan kepada isu tersebut dengan berhujah Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun memperuntukkan masa pada Isnin ini untuk dia menjawabnya.

Pada 2011, Najib yang menjadi perdana menteri ketika itu membentangkan usul untuk menamatkan tiga proklamasi darurat yang telah berkuat kuasa lebih 40 tahun, di Dewan Rakyat.

Dalam sidang media hari ini, Najib berkata ada tiga persoalan utama berkaitan pengumuman Takiyuddin semalam yang perlu dijawab segera.

Persoalan pertama, katanya, adalah jika proses undang-undang dipatuhi dalam pembatalannya.

Najib jika bertanya jika pembatalan boleh dibuat secara dibelakangkan (backdated) kerana ia membawa implikasi besar terhadap kesahan tindakan yang diambil pihak berkuasa sejak 21 Julai.

Soalan ketiganya pula berkenaan tiga peraturan ordinan yang dikatakan telah dibatalkan, yang menurutnya turut termasuk ordinan induk darurat.

"Ini boleh menimbulkan soal kesahihan dari segi undang-undang dan keabsahan kerajaan dari 21 Julai hingga 1 Ogos.

"Kenyataan semalam amat mengelirukan rakyat dan dewan. Penjelasan yang tepat, terperinci dan sejelas-jelasnya perlu dilakukan sebelum ia menimbulkan begitu banyak persoalan di kalangan rakyat dan ahli parlimen," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS