Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan putuskan VK Lingam kekal dilarang jadi peguam

Peguam kanan yang pernah dikaitkan dengan pita rakaman mengenai skandal pelantikan hakim pada 2007, VK Lingam, masih dilarang menjadi peguam.

Hal itu kerana Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Lingam terhadap keputusan Badan Peguam pada 2015 untuk membatalkan lesen guamannya sekali gus menghalang dia daripada menjadi peguam bela dan peguam cara.

Ketika dihubungi hari ini, wakil Badan Peguam, Razlan Hadri Zulkifli, mengesahkan perkara itu selepas prosiding berlangsung di hadapan tiga hakim Mahkamah Rayuan.

Sidang itu dipengerusikan hakim Lee Swee Seng.

"Mahkamah Rayuan tidak menemukan sebarang kesalahan dalam keputusan Lembaga Disiplin (Peguambela dan Peguamcara) terhadap Lingam," katanya.

Razlan menambah dua lagi hakim iaitu Lee Heng Cheong dan Hashim Hamzah juga memerintahkan Lingam membayar kos sebanyak RM30,000.

Pada 6 Nov 2015, Lembaga Disiplin Badan Peguam menggugurkan kelayakan Lingam untuk menjadi peguam bela dan peguam cara selepas terbongkarnya skandal pengaturan pelantikan hakim. 

Ia berlaku selepas Lingam dirakam sedang merundingkan susunan hakim untuk dilantik ke jawatan tertentu. Ia kemudian mendorong kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) pada 2008 untuk menyiasat perkara itu.

Suruhanjaya lima anggota itu mengesyorkan agar tindakan diambil terhadap pihak utama yang terlibat dalam skandal terbabit iaitu Lingam, bekas ketua hakim negara, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Eusoff Chin, pemimpin Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan taikun perniagaan Vincent Tan.

Dalam laporan setebal 191 muka surat itu, RCI mengesyorkan agar enam orang itu disiasat mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Rasuah dan Undang-Undang Profesion Undang-Undang.

Lingam dan beberapa yang lain mencabar keputusan RCI, tetapi Mahkamah Persekutuan pada Sept 2011 memutuskan bahawa keputusan itu tidak boleh dicabar.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS