Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li minta pindah kerusi keluar dari blok kerajaan
Diterbitkan:  Jul 27, 2021 1:27 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

PARLIMEN | Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini mengemukakan permohonan agar tempat duduknya dialihkan ke blok bukan penyokong kerajaan.

Alasan diberi ahli politik veteran itu, dia tidak mahu dilihat menjadi penyokong kepada kepada "kerajaan yang gagal".

Justeru Tengku Razaleigh yang mewakili kerusi Gua Musang sejak 1974 berkata, untuk tujuan itu dia megemuakakan surat permohonan kepada parlimen agar tempat duduk dipindahkan.

Surat itu dialamatkan kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

"Dengan hormatnya suka saya memaklumkan bahawa saya tidak ingin terus berada di kerusi yang telah disediakan untuk saya dalam Dewan Rakyat bersama-sama dengan anggota Dewan Rakyat lain dalam kumpulan seolah-olah menjadi penyokong kerajaan yang ada.

"Dengan makluman ini saya memohon mendapat persetujuan dan kerjasama Tuan Yang Dipertua memindahkan tempat duduk saya ke suatu kerusi dalam Dewan Rakyat berhampiran dengan kumpulan (block) bebas yang tidak menyokong kerajaan sekarang ini.

"Dari awal lagi saya tidak pernah menyokong atau bersama dengan dengan kerajaan yang ditubuh yang mengguna nama kerajaan Perikatan Nasional," katanya dalam surat tersebut.

Pada 23 Mac lalu dalam wawancara bersama portal berita Malaysiapost, Tengku Razaleigh - ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li - menjelaskan dia tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. 

Katanya langkah tersebut dibuat kerana dia menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Razaleigh berkata tindakan yang diambilnya sekarang bersesuaian dengan semangat perjuangan Umno dan BN.

Pun begitu, katanya, dia tidak pasti sama ada ahli parlimen Umno yang lain akan mengambil langkah sama seperti dilakukannya.

"Walau apa pun yang dilakukan oleh mereka ini, saya dengan suka hati mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan BN/Umno terutama sekali pengundi saya, ahli-ahli Umno dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini," katanya.

Sementara itu dalam kenyataannya hari ini, Azhar mengesahkan pejabatnya menerima permohonan Tengku Razaleigh.

Justeru kata Azhar setiausaha Dewan Rakyat diarah untuk mengambil tindakan sewajarnya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS