Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pilihan raya negeri Sarawak pula?
Diterbitkan:  Jul 27, 2021 9:06 AM
Dikemaskini: 1:06 AM

Pilihan raya negeri Sarawak kembali diperkatakan setelah kerajaan mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat menjelang berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos ini.

Pembatalan Ordinan Darurat itu sendiri mencetuskan kontroversi kerana tidak dibuat melalui Parlimen - satu langkah yang didakwa pembangkang bertujuan mengelakkan undi di parlimen - berikutan ketidakpastian terhadap majoriti yang dimiliki kerajaan Perikatan Nasional.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, dengan pembatalan tersebut, pilihan raya negeri Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembatalan tersebut.

Kerajaan tidak memaklumkan mengenai pembatalan Ordinan Darurat sehinggalah semalam, dengan mendakwa ia dilakukan pada 21 Julai lalu. 

Bagaimanapun, pembatalan itu masih belum diwartakan dalam Warta Persekutuan.

Tempoh lima tahun Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada 7 Jun lalu dan selepas itu pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. 

Namun, pilihan raya negeri ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat.

Dengan pembatalan Ordinan Darurat,  pilihan raya Sarawak perlu diadakan selewatnya pada 19 September.

Chong mempersoalkan apakah kerajaan Sarawak dimaklumkan mengenai perkembangan itu, memandangkan negeri itu belum bersedia mengadakan pilihan raya negeri di tengah-tengak pandemik Covid-19.

Dia berkata sekitar 60 peratus penduduk Sarawak belum menerima vaksin penuh dan vaksin yang ada kurang berkesan terhadap varian Delta.

Chong mencadangkan agar darurat diisytiharkan di Sarawak untuk menangguhkan pilihan raya negeri.

Kaedah yang sama digunakan untuk menangguhkan beberapa pilihan raya kecil yang lalu akibat pandemik Covid-19.

"Kerajaan persekutuan dan negeri mesti memastikan bahawa selamat bagi semua pemilih untuk mengundi sebelum memanggil pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.

"Jika tidak, kerajaan negeri pimpinan GPS bersalah kerana membahayakan nyawa dan kesihatan rakyat Sarawak hanya untuk kepentingan politik GPS," tambah Chong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS