Mayat seorang lelaki yang memakai gelang kuarantin berwarna putih ditemukan terapung di Sungai Terengganu berdekatan Kampung Banggol Cempedak, di Kuala Terengganu hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis pukul 2.37 petang tadi, sebelum enam anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi.
“Ketika bomba tiba di lokasi, terdapat satu mayat lelaki terapung pada jarak kira-kira 50 meter dari darat. Mayat itu telah kembung dan dipercayai berada di dalam air lebih dari dua hari.
“Oleh kerana mayat itu memakai ‘gelang putih’, ia memberi risiko kepada anggota bomba yang menjalankan tugas.
"Disebabkan itu anggota kita bersiap sedia dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dari mula hingga tamat operasi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadiani.
Rozizah berkata mayat itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
- Bernama