Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Kes baru cecah 17,000, tapi sidang tumpu 'pelan kerajaan yang gagal'

Dr Mahathir Mohamad membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya menumpukan penjelasan berhubung "pelan-pelan kerajaan yang gagal" ketika sidang Dewan Rakyat hari ini, di saat kes baru tertinggi Covid-19 mencecah lebih 17,000.

Dia yang merupakan ahli parlimen Langkawi berkata, sidang ini sepatutnya membolehkan ahli parlimen berbahas dan membincangkan cara-cara mengurangkan kes baru jangkitan Covid-19.

“Penyakit ini sudah sampai 17,000 sehari dan ribuan orang mati...ini amat serius tapi tumpuan (sidang) kepada pelan-pelan yang dibuat kerajaan.

“Dan pelan-pelan yang dibuat kerajaan setakat kita tahu tidak pernah mencapai kejayaan, daripada PRN Sabah sehingga sekarang ada isytihar darurat pun tetapi jumlah kes meningkat sepanjang masa.

“Rakyat takut mereka juga akan dijangkiti penyakit tapi nampak jelas kerajaan lebih suka menjelaskan tindakan-tindakan kerajaan tetapi semua tindakan ini tidak berjaya untuk kurangkan kes baru Covid-19,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Menyifatkan sidang khas Dewan Rakyat yang bermula hari ini sebagai "majlis penerangan kerajaan" kepada wakil rakyat, Mahathir berkata kerajaan juga lebih berminat membincangkan angka-angka yang tidak relevan berbanding cara menangani masalah Covid-19.

“Umpamanya bahawa segala Ordinan yang diperkenalkan waktu darurat sudah dimansuh, ini bermakna ordinan ini melibatkan perbelanjaan wang. Apabila dimansuh apa jadi dengan peruntukan-peruntukan wang yang telah dibelanjakan dan akan dibelanjakan, itu persoalan kita.

“Kalau tidak ada perbahasan dalam dewan maka sukarlah pihak pembangkang dan Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) khususnya membahas kedudukan ordinan-ordinan," katanya yang merupakan pengasas parti itu.

Antara undang-undang yang diwartakan di bawah darurat adalah yang membenarkan perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif, menerusi Seksyen 10a dan 10b dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 juga diwartakan untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan mengumumkan semua ordinan darurat yang diisytiharkan pada tahun ini dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Dalam pada itu, Mahathir membandingkan jumlah kes Covid-19 ketika darurat diisytiharkan pada Januari lalu dengan angka semasa yang jauh lebih tinggi.

“Ini juga agak aneh, darurat diisytiharkan kerana kes Covid-19 meningkat, iaitu ketika diisytihar kes baru cuma (sekitar) 2,000 tetapi sekarang kes Covid-19 meningkat (sehingga) 17,000 dan kerajaan berkata darurat akan tamat.

"Jadi tak masuk akal di waktu (kes) begitu serius, tidak mahu (tangani dengan) serius dan (ketika keadaan) tidak begitu serius, kita isytihar darurat.

"Ini membuktikan bahawa apa yang dikatakan parti pembangkang termasuk Pejuang bahawa darurat ini untuk politik kerajaan, bukan untuk menangani masalah Covid,” katanya.

Untuk rekod, darurat dikuatkuasakan sejak 11 Januari dengan tujuan membendung penularan wabak Covid-19. Ia dijadual berakhir pada 1 Ogos ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS