Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembangkang berang, Zafrul ganti PM untuk penggulungan
Diterbitkan:  Jul 26, 2021 5:29 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak membuat penggulungan bagi taklimat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaliknya, ucapan penggulungan akan disampaikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang juga menteri penyelaras PPN.

Perkara itu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat dengan ramai ahli parlimen pembangkang menuntut Muhyiddin memberi jawapan ketika ucapan penggulungan tersebut.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, yang kelihatan marah, mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun agar tidak membenarkan perkara itu berlaku.

"Tidak pernah dalam sejarah - sejak merdeka, sejak tertubuhnya Parlimen - soalan kepada perdana menteri dan (berkenaan) darurat dijawab oleh menteri kewangan.

"Anda perlu bertanggungjawab. Speaker perlu berani. Anda yang dipertua dewan," katanya.

Anwar Ibrahim

Turut bangkit mempersoalkan ketiadaan perdana menteri adalah RSN Rayer (PH-Jelutong)

"Tuan Speaker, di mana perdana menteri kita? Di mana yang berhormat Pagoh? Rakyat nak tahu di mana perdana menteri? soalnya.

Manakala, Steven Sim (PH-Bukit Mertajam) menggesa Azhar menjemput Ahli Muhyiddin untuk masuk ke Dewan.

"Tuan speaker, saya minta tuan supaya speaker jemput perdana menteri untuk menjawab. Ini perkara penting.

Sudahlah perdana menteri tidak duduk dalam dewan ketika kita sedang berbahas dan sekarang beliau tidak ada di sini untuk menjawab perbahasan kita.

Lip Eng: Cirit-birit?

Lim Lip Eng (PH-Kepong) juga turut bangkit bertanyakan adakah Muhyiddin sakit.

"PM cirit-birit lagi ke? Ada surat doktor? soalnya.

Gobind Singh Deo (PH-Puchong) juga menyatakan rasa kesal dengan ketidakhadiran perdana menteri dan menyifatkan apa yang berlaku adalah sangat memalukan.

"Tuan Speaker, adakah hanya satu menteri akan jawab atau adakah akan ada pihak lainyang akan jawab? Kerana soal undang-undang semua dibangkitkan bukan menteri kewangan nak jawab, dia tak tahu.

"Kita datang untuk tunggu jawapan, tetapi yang beri kenyataan adalah orang lain, menteri yang tak tahu berkenaan perkara ini. Ini memalukan," katanya.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

Bagaimanapun, Azhar tidak mengendahkan persoalan yang dibangkitkan ahli parlimen yang mempersoalkan ketiadaan perdana menteri, sebaliknya beliau meneruskan sesi penggulungan oleh Zafrul.

Namun, Zafrul tidak dapat menyelesaikan sesi penggulungan kerana terdapat beberapa wakil rakyat yang bertanyakan soalan daripada menteri kewangan itu sebelum speaker mengarahkan Dewan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, Selasa dan selain dibenarkan menjawab soalan dalam jawapan bertulis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS