Paling Popular
Terkini

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghadapi tuduhan kerana menyelewengkan dana milik Bersatu, hari ini membayar baki wang jaminan sebanyak RM250,000 kepada mahkamah.

Peguam yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu, Haijan Omar mengesahkan perkara ini ketika dihubungi Malaysiakini.

Haijan berkata, anak guamnya membayar baki wang jaminan berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur petang ini.

Bekas ketua pemuda Bersatu itu pada Khamis lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyelewengkan dana Bersatu.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh menyalahgunakan wang berjumlah RM1 juta milik Bersatu pada 6 Mac tahun lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara curang ​​menyalahgunakan dana yang dikumpulkan Armada - bernilai RM120,000 - yang sepatutnya digunakan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Hakim membenarkan dia diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk membayar RM80,000, manakala bakinya dijelaskan selewat-lewatnya hari ini.

Pada Jumaat lalu, dia berjaya mengumpulkan lebih RM715,000 dalam masa 24 jam selepas merayu sumbangan orang ramai melalui pendanaan awam.

Syed Saddiq memaklumkan jumlah keseluruhan yang berjaya dikutip berjumlah RM715,573.77 daripada 9,836 penderma, seperti yang dinyatakan dalam catatan Facebook.

Jumlah itu adalah dua kali ganda daripada wang jaminan sebanyak RM330,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen.

Penyokong Syed Saddiq mendakwa pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik menjelang persidangan parlimen minggu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS