Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP pembangkang tuntut proses undian, Speaker berang

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menegur ahli-ahli parlimen pembangkang selepas kira-kira sejam mereka menyatakan rasa tidak puas hati pada persidangan khas parlimen hari ini. 

"Duduk. Oleh kerana tidak ada seorang pun ahli parlimen nak dengar apa yang saya cakap, saya hanya nak kata satu saja. Saya tak bersetuju dengan semua yang berhormat cakap tadi.

"Kita teruskan dengan aturan mesyuarat sekarang,” tegas Azhar dengan nada berang setelah cuba menyampaikan keputusan terhadap bantahan ahli-ahli parlimen pembangkang, yang terus mengganggu ucapannya.

Belum sempat Azhar menghabiskan percakapannya, salah seorang ahli parlimen pembangkang bangun dan menyatakan mereka juga tidak bersetuju dengannya.

"Kami pun tak setuju apa yang Speaker cakap," kata salah seorang ahli parlimen pembangkang.

Terdahulu, sejumlah anggota parlimen pembangkang berdiri seorang demi seorang untuk membangkitkan rasa tidak puas hati mereka terhadap ucapan perasmian Azhar di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker berkata, ahli parlimen akan dibenarkan mengemukakan soalan dan berbahas mengenai taklimat daripada para menteri selepas itu.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo bangkit mempersoalkan sekiranya sesi taklimat dan soalan dibenarkan, mengapa ahli-ahli parlimen tidak dibenarkan mengundi.

"Tadi Speaker ada menyatakan untuk soal jawab dan hujahan dibuat, tetapi kenapa terhenti di situ.

"Kalau Speaker mengguna pakai budi bicara di bawah aturan-aturan ini untuk membenarkan ahli parlimen menyuarakan pendapat dan juga berhujah, kenapa tidak diberikan ruang kepada kita untuk membuat keputusan melalui dewan ini? Di mana kita mengambil undi satu keputusan yang dibuat berkenaan apa yang berlaku?" soalnya.

Menurut Gobind, kerajaan gagal mengawal pandemik Covid-19 dengan kes harian semalam mencatatkan lebih 17,000.

"Sudah cukup jelas bahawa kerajaan ini telah gagal dan ini adalah sesuatu yang harus diputuskan di Dewan ini (melalui undian)," katanya.

Sebelum ini, Azhar menolak lima usul pembangkang, yang antaranya usul berkaitan Proklamasi Darurat untuk dibahas dan diluluskan di parlimen.

Ahli Parlimen Selayang (PH), William Leong antara salah seorang ahli parlimen yang mendesak agar kesemua usul dikemukakan Anwar Ibrahim (Port Dickson) dan Ngeh Koo Ham (Beruas) dibentang dan dibahaskan.

“Tuan Yang di-Pertua, kita semua rakyat Malaysia. Saya minta Speaker kaji semula keputusan supaya usul dari Port Dickson dan Beruas dapat dibahaskan dan satu undian serta ketetapan dapat dibuat.

"Lebih parah lagi bila usul ini ditolak, struktur dasar perlembagaan akan hancur kerana hak perundangan adalah hak Dewan Rakyat, bukan hak eksekutif dan ini termasuk Ordinan Darurat," kata Leong.

Dia juga menegaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 11 (3) tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 150 (3).

Pasal 150 (3) menyatakan Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis.

"Tetapi Perkara 150 (3) berkata bila parlimen bersidang inilah hak dan tanggungjawab kita untuk membuat ketetapan. Kalau tidak, peranan parlimen dimusnahkan," kata Leong.

Azhar bagaimanapun menegaskan persidangan khas Dewan Rakyat ini adalah selaras dengan Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan, dengan merujuk sekali lagi kepada Peraturan Mesyuarat 11 (3).

Azhar menegaskan bahawa peruntukan itu memberikan perdana menteri hak proregatif untuk mengadakan sidang khas parlimen hari ini.

Katanya, amalan sama juga berlaku di Parlimen United Kingdom (UK) yang mana sidang khas dibenarkan untuk diadakan dengan persetujuan pihak kerajaan.

Ketika Azhar berusaha memberi penjelasan, anggota parlimen pembangkang terus mencelah, termasuk Salahuddin Ayub (PH-Pulai) yang mendakwanya cuba mengelirukan Dewan.

Ini menyebabkan Azhar berang dan mengingatkan ahli parlimen agar tidak hanya menggunakan Peraturan Mesyuarat apabila perkara itu berpihak kepada mereka.

"Kamu (MP) bawa peraturan mesyuarat, tapi kamu sendiri tak ikut peraturan mesyuarat. Peraturan mesyuarat kata bila saya becakap, yang berhormat diam.

"Jangan ikut peraturan cuma apabila peraturan itu menyebelahi yang berhormat. Ini terpakai di seluruh bidang, ”katanya.

Terdahulu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mempersoalkan apakah Azhar  "dikawal kerajaan".

Ramkarpal berkata Azhar sebagai peguam tentunya faham betapa pentingnya proklamasi darurat dan ordinan berkaitan dibawa ke Dewan Rakyat, selaras Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, Azhar juga tentunya faham bahawa peraturan Dewan Rakyat tidak boleh mengatasi perlembagaan.

“Tuan Speaker telahpun tidak membawa ordinan dan proklamasi tersebut ke Dewan ini. Kenapa? Adakah anda dikawal kerajaan?” katanya kepada Azhar.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS