Beberapa ahli parlimen tidak dapat menghadiri persidangan khas Dewan Rakyat hari ini kerana menjalani kuarantin Covid-19.
Menurut Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, dua anggota parlimen disahkan positif Covid-19 dan "lima atau enam" daripada mereka dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
Berikut adalah senarai ahli parlimen yang tidak berada di tempat duduk mereka berdasarkan rakaman sidang Dewan Rakyat dan saksi mata.
1. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk)
2. Zuraida Kamaruddin (PN-Ampang)
3. Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar)
4. Mohd Khairuddin Aman Razali (PN-Kuala Nerus)
5. Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas)
6. Mansor Othman (PN-Nibong Tebal)
7. Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun)
8. Chow Kon Yeow (PH-Tanjong)
Bagaimanapun senarai berkenaan tidak lengkap kerana wartawan tidak dibenarkan masuk ke galeri awam akibat SOP Covid-19.
Lebih-lebih lagi, tempat duduk ahli parlimen tidak jelas kerana terhalang dengan lapisan kaca dan wajah mereka ditutup dengan pelitup muka.
Semua ahli parlimen dan pegawai Parlimen menjalani ujian Covid-19 minggu lalu.
Menurut Azhar, setakat Jumaat lalu, seramai 12 kakitangan parlimen positif Covid-19, manakala 58 lagi dikuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit.
Dewan Rakyat mengadakan sidang khas hari ini selama lima hari bagi mendengar taklimat yang disampaikan menteri kabinet.