Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN | Saya sempat meneliti sidang media berkaitan hartal pegawai perubatan (Doktor) kontrak yang akan dilaksanakan pada 26 Julai 2021. 

Tertarik dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Umar Baraka yang menyentuh mengenai masa depan para pegawai perubatan ini jika tidak menerima tawaran bekerja secara tetap di hospital kerajaan.

Pihak kerajaan menyarankan agar mereka memohon untuk bekerja di hospital-hospital swasta.

Mungkin para pembuat dasar sudah lama tidak menerima rawatan di hospital kerajaan.

Menunggu berjam-jam untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar memang sudah menjadi lumrah di kebanyakan hospital terutamanya di bandar-bandar utama. 

Belum lagi dikira tempat letak kenderaan yang amat terhad.

Jika anda ingin mendapatkan rawatan dan berharap mendapat tempat meletak kenderaan yang selesa dan munasabah untuk seorang pesakit berjalan kaki maka anda sebenarnya bermimpi.

Kini kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang kian meruncing. Jumlah kematian “Brought In Dead” (BID) meningkat berkali ganda semenjak April 2021. 

Jumlah pada bulan April 2021 kes BID hanya 35 naik mencanak 7 kali ganda pada bulan Jun 2021 yang mencatatkan 246 kes (The Star, 2/7/21).

Kes BID ini membawa maksud kematian mangsa Covid 19 yang tidak sempat mendapat rawatan.

Ia juga bermaksud kelemahan sistem kesihatan kita termasuklah guna tenaga pegawai perkhidmatan perubatan yang amat terbatas. Mangsa Covid 19 yang terdiri daripada rakyat marhaen terbiar tanpa sebarang usaha mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan kematian. Jika ada pun kemungkinan lain adalah keengganan mangsa untuk mendapatkan rawatan.

Tanggungjawab berkumpulan

Dari sudut agama Islam, timbul persoalan memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Fardhu kifayah diertikan kepada tuntutan atau tanggungjawab yang mesti dipikul secara berkumpulan atau bermasyarakat. Dalam hal ini adalah tanggungjawab menyediakan rawatan.

Sekiranya perkara ini gagal dipenuhi maka seluruh masyarakat itu menanggung dosa atas kecuaian atau kelemahan yang wujud.

Apabila timbul Hartal Doktor Kontrak maka kesangsian terjelma mengenai kemampuan atau kesungguhan kerajaan dalam melunaskan tuntutan fardhu kifayah ini. Ia melibatkan kira-kira 23,000 orang doktor perubatan. Bukan jumlah yang kecil. Tambahan pula mereka ini terlibat dalam mengendalikan kes-kes berkaitan rawatan Covid 19.

Fardhu kifayah adalah satu tanggungjawab asas yang dipikul oleh kerajaan. Ia mesti diberikan perhatian yang besar.

Memetik kata- kata Imam al Rafi’e, fardhu kifayah merupakan perkara kulliyat yang terkait dengan maslahah agama dan duniawi yang amat dituntut syara’ untuk dilaksanakan.

Justeru, berdepan pandemik, perkara melibatkan barisan hadapan ini mesti tuntas dimuktamadkan dan tentunya dimulakan dengan perbincangan mencari solusi menang-menang.

Tindakan mengeluarkan kenyataan kira-kira 3 hari sebelum hartal dilaksanakan jelas menunjukkan kesungguhan yang rendah di pihak kerajaan. Tambahan pula kenyataan tersebut gagal menjawab tuntutan dan isu yang ditimbulkan oleh pihak doktor kontrak ini.

Suatu tuntutan fardhu kifayah mestilah diselaraskan oleh pihak yang diberikan amanah. Dalam konteks ini adalah para ulil amri. Menjadi kewajipan ulil amri mengatur, mengurus secara sistematik termasuklah kebajikan para petugas kesihatan bagi memastikan pandemik Covid 19 ini dapat ditangani sebaiknya.

Segala kemudahan dan peruntukan kewangan perlu dipastikan mampu menampung keperluan kesihatan rakyat yang semakin terancam ini.

Kefardhuan ini bukan suatu yang ringan. Ia mesti dijalankan dengan penuh kesungguhan.

Membiarkan doktor-doktor kontrak ini dalam keadaan yang terawang-awang tanpa suatu kepastian hanya mempercepatkan rasa putus asa dalam kalangan mereka. Rakyat perlukan tenaga dan kepakaran mereka. Menggalakkan mereka berhenti dan keluar dari perkhidmatan kesihatan kerajaan adalah satu tindakan yang berada di luar batasan syara’.

Perbincangan ini akan menjadi lebih panjang jika kita melihat dari sudut maqasid Syariah yang memperuntukkan secara jelas pekara yang berkaitan hifz ul-nafs (penjagaan nyawa) yang turut melibatkan taraf kesihatan rakyat secara langsung.

Oleh yang demikian kerajaan perlu bertindak dengan penuh kesungguhan untuk memenuhi atau melunasi kefardhuan ini.


AMIDI ABDUL MANAN ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS