Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
55 MP cadang tubuh 13 lagi j'kuasa pilihan khas Parlimen

55 anggota parlimen hari ini tampil menyuarakan cadangan supaya 13 lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) diwujudkan sebagai tambahan untuk sembilan jawatankuasa yang ada pada masa ini.

Dalam sidang media secara dalam talian hari ini, anggota Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau berkata, mereka merangkumi 62.5 peratus daripada 88 ahli parlimen yang tidak menganggotai mana-mana jawatankuasa pilihan khas yang sedia ada.

Wilfred berkata, cadangan itu agar setiap kementerian dapat dipantau dengan berkesan dan semua ahli parlimen mempunyai tanggungjawab sekurang-kurangkan terhadap satu PSSC.

"Pada masa ini terdapat sembilan PSSC yang ditugaskan untuk mengawasi 30 portfolio kementerian tetapi digabungkan menjadi 20 portfolio.

"Dengan tambahan 13 lagi jawatankuasa, Parlimen Malaysia akan mempunyai 22 PSSC yang akan bertemu setiap minggu dengan penglibatan yang berkesan dari kumpulan masyarakat dan juga penjawat awam.

"Ia (penambahan PSSC) akan membabitkan perbelanjaan tambahan kerajaan sebanyak RM3.9 juta yang kami rasa sangat wajar kerana peranan jawatankuasa ini adalah bebas daripada dipengaruhi oleh mentaliti menteri dan kakitangan awam," katanya yang mengetuai sidang media.

Turut serta adalah Anggota Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, Baru Bian (Selangau), Tan Yee Kiew (Wangsa Maju), Kasthuri Patto (Batu Kawan) dan Noor Amin Ahmad (Kangar).

Cadangan itu menyusuli gesaan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azalina Othman Said agar kerajaan segera menubuhkan lebih banyak jawatankuasa khas ketika persidangan khas Parlimen yang bermula esok.

Menurut Azalina, ia boleh dilaksanakan melalui Usul Perkara Penting dan Kepentingan Umum Mendesak di bawah Peraturan 18 Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sementara itu, 55 anggota parlimen terbabit dalam kenyataan bersama menegaskan kesemua ahli parlimen perlu berpeluang untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam proses penggubalan undang-undang serta pembuatan dasar nasional.

Menyifatkan Parlimen bukan batu loncatan untuk menjadi menteri dan timbalan menteri, mereka berkata di saat barisan menteri menguruskan pentadbiran negara secara sepenuh masa, ahli parlimen lain juga perlu diberi ruang untuk memantau kerajaan juga secara sepenuh masa.

Menurut mereka, selain daripada mereka yang memegang jawatan seperti menteri dan duta khas, terdapat lebih 100 ahli parlimen lain - sama ada di pihak pembangkang mahupun kerajaan - yang boleh menganggotai jawatankuasa.

"Sekalipun apabila Parlimen tidak bersidang untuk meluluskan undang-undang dan berdebat mengenai dasar, Ahli-ahli parlimen mesti dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada kerajaan menerusi jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas (PSSC).

"Setiap jawatankuasa perlu berfokus kepada satu portfolio atau kluster kementerian, dan perlu bermesyuarat secara kerap sepanjang tahun untuk meneliti isu-isu dan mendengar pandangan masyarakat awam, organisasi masyarakat madani, kumpulan perniagaan dan penjawat awam yang berkaitan.

"Malangnya, kita sekarang mempunyai 30 portfolio kementerian tetapi hanya sembilan PSSC yang meneliti 20 portfolio kementerian, malah sesetengah portfolio penting digabung dan diletakkan di bawah satu jawatankuasa sahaja," kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS