Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hentikan amalan lantikan politik dalam lembaga pengarah IPTA'
Diterbitkan:  Jul 25, 2021 2:13 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) menggesa kerajaan agar menghentikan lantikan politik di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Mendakwa amalan itu dimulakan ketika pentadbiran BN, kumpulan ahli akademik itu berkata ia kini diamalkan oleh pihak dalam kerajaan yang mempunyai "DNA Umno-BN".

"Gerak sentiasa menentang amalan tidak sihat ini.

"Amalan lantikan politik untuk pengerusi, ahli lembaga pengarah, naib canselor, timbalan naib canselor dan jawatan tinggi IPTA lain harus dihentikan," kata Gerak dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ada usaha konkrit ketika pentadbiran PH untuk menghalang lantikan politik dengan mewujudkan jawatankuasa bebas yang dianggotai ahli akademik senior dan tokoh dalam industri.

Bagaimanapun, katanya, jawatankuasa itu seperti tidak lagi wujud atau tidak lagi berperanan.

"Jika (jawatankuasa) masih melaksanakan tugasnya, penangguhan dalam pelantikan naib canselor pada masa ini tidak akan berlaku.

"Kami risau dengan perkembangan di beberapa IPTA yang membayangkan campur tangan luar dan pengenepian garis panduan yang sudah tersedia," kata Gerak, sambil menggesa Menteri Pendidikan Tinggi Noraini Ahmad agar segera menggantikan lantikan politik dengan tokoh bebas, ikhlas dan kreatif yang dipilih jawatankuasa universiti.

Gerak juga mendakwa kontrak seorang naib canselor dan timbalannya di sebuah universiti di pantai timur dilaporkan telah dipendekkan oleh pengerusi lembaga pengarah universiti itu, yang dikatakan seorang pemimpin Umno.

Berdasarkan pemeriksaan di laman web universiti, sekurang-kurangnya 13 individu yang dikaitkan dengan parti dalam Perikatan Nasional telah dilantik ke dalam lembaga pengarah IPTA:

1. Norliza Abdul Rahim (Umno) - Universiti Sains Malaysia

2. Abdul Aziz Abdul Rahman (Mubarak) - Universiti Malaysia Pahang

3. Awang Adek Hussin (Umno) - Universiti Sains Malaysia

4. Abdul Rahman Dahlan (Umno) - Universiti Malaysia Sabah

5. Md Alwi Che Ahmad (Umno) - Universiti Teknologi Malaysia

6. Khairul Ezwan Harun (Umno) - Universiti Utara Malaysia

7. Ibrahim Abu Shah (Umno) - Universiti Teknologi Mara

8. Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie (Umno) - Universiti Kebangsaan Malaysia

9. Khairil Nizam Khirudin (PAS) - Universiti Malaysia Terengganu

10. Md Sharif Shamsuddin (Umno) - Universiti Malaysia Pahang

11. Apli Yusoff (Umno) - Universiti Sultan Zainal Abidin

12. Husain Awang (PAS) - Universiti Sultan Zainal Abidin

13. Mohd Sazili Shahibi (Umno) - Universiti Teknologi Mara


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS