mk-logo
Berita
Hartal doktor kontrak pada 26 Julai tetap diteruskan
Diterbitkan:  Jul 24, 2021 11:55 AM
Dikemaskini: Jul 26, 2021 2:57 AM

Gerakan Hartal Doktor Kontrak mengesahkan rancangan mereka untuk mengadakan protes terhadap layanan kerajaan akan diteruskan seperti dijadualkan lusa.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini mereka berkata, tawaran kerajaan untuk menyambung kontrak - seperti diumum perdana menteri semalam - bukanlah suatu penyelesaian.

"Ia adalah gula-gula untuk menutup mulut kita. Kita tahu benar bagaimana sistem ini berjalan, dan kita tidak akan terpedaya," katanya dalam satu kenyataan umum di media sosial hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan persetujuan untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terbabit dengan menawarkan pelantikan - secara kontrak - selama tempoh dua tahun selepas melengkapkan khidmat wajib.

Menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin langkah penyelesaian segera itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan mereka untuk mengikuti pengajian kepakaran.

"Sebagai langkah penyelesaian segera, kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

"Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, langkah ini juga bagi memastikan pegawai-pegawai yang berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

Menurut Muhyiddin, bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, jemaah menteri juga bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan hadiah latihan persekutuan. 

Menurut kumpulan terbabit, tiada sesiapa yang "bijak" akan menerima tawaran penyelesaian dibuat kerajaan semalam.

"Sudah-sudahlah memberikan kami penyelesaian separuh masak daripada orang yang bukan dalam medan ini pun, atau tidak tahu bagaimana sistem ini berfungsi, atau tidak peduli pun berfikir secara menyeluruh mengenainya kerana ini bukan masalah mereka.

"Berikan kami perancangan yang jelas, penyelesaian yang jelas untuk kerjaya kami.

"Adakah kita mampu kehilangan lebih banyak orang sekarang?" kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS