Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendaftaran 'Vaksin Pfizer, Kuota TMJ' palsu - MBJB

Mesej yang tular di media sosial yang memaklumkan orang ramai boleh mengisi borang pendaftaran 'Vaksin Pfizer, Kuota TMJ’ baru-baru ini, adalah palsu, menurut Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

MBJB dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai borang pendaftaran bagi vaksin jenis Pfizer itu di bawah kuota mana-mana pihak.

Menurut MBJB borang yang ditularkan itu sebenarnya merupakan borang pendaftaran vaksin yang digunakan urusetia Southern Volunteers Johor Bahru.

"Borang berkenaan bertujuan membantu bagi mendaftarkan warga bandar raya ini yang masih belum mendaftar bagi pengambilan vaksin, sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di http://www.vaksincovid.gov.my.

"Untuk makluman warga bandar raya juga, Southern Volunteers Johor Bahru turut menggunakan platform laman web JKJAV bagi menyemak dan mendaftarkan orang awam yang belum mendaftar vaksin," demikian menurut kenyataan itu hari ini.

MBJB turut menafikan dakwaan bahawa pendaftaran vaksin melalui borang Southern Volunteers lebih diutamakan untuk pemberian vaksin berbanding kaedah pendaftaran sendiri melalui aplikasi MySejahtera atau laman web JKJAV.

Berikutan itu, warga bandar raya diingatkan agar sentiasa menyemak maklumat yang diterima serta merujuk kepada saluran-saluran rasmi berkaitan maklumat vaksin Covid-19 sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Kementerian Kesihatan, JKJAV, Majlis Keselamatan Negara, Southern Volunteers atau MBJB.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS