Kerajaan Selangor menyasarkan seramai sejuta warga industri yang berdaftar di bawah Program Vaksin Selangor (SelVAX) akan lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menjelang Oktober ini.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail berkata SelVAX adalah antara usaha kerajaan negeri bagi mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dengan mengenal pasti kumpulan sasaran (SelVAX Komuniti) serta memelihara pekerja (SelVAX Industri).
“Setakat ini, seramai 89,653 warga industri Selangor daripada 52,000 syarikat telah menerima vaksin di bawah SelVAX Industri.
“Keutamaan diberikan kepada industri yang berisiko, penting, mempunyai pekerja yang ramai serta perusahaan kecil dan sederhana yang menghasilkan produk penting di bawah 200 pekerja,” katanya kepada pemberita pada Program SelVAX Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma, hari ini.
Sementara itu, katanya kesemua penerima vaksin dari 56 DUN Selangor di bawah program SelVAX Komuniti, dijangka selesai menerima dos pertama pada pertengahan bulan depan.
Di bawah program itu, kerajaan Selangor berhasrat memberikan 2.5 juta dos vaksin kepada sekitar satu juta penduduknya dengan dibahagikan kepada dua kategori iaitu 500,000 dos kepada masyarakat umum, manakala dua juta dos lagi untuk pekerja industri.
Matlamat utamanya bagi melengkapi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan memastikan imuniti kelompok dicapai.
- Bernama