Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu tunggal dituduh cuba bunuh anak perempuan

Seorang ibu tunggal hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka atas tuduhan cuba membunuh anak perempuannya pada 13 Julai lalu.

Syarifah Norain Mohamad Zali, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Syarifah Norain yang tidak bekerja didakwa cuba membunuh anak perempuannya berusia setahun sembilan bulan dengan membuangnya ke dalam longkang di Lorong Pandan pada jam 8.40 malam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam satu lagi pertuduhan, Syarifah Norain mengaku bersalah mendatangkan kecederaan kepada anak yang sama pada pukul 9.40 malam di tempat serta tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan pendakwa raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan sebelum hakim membenarkan ikat jamin RM12,000 dan menetapkan 26 Ogos depan untuk fakta hukuman serta pengurusan kes.

Syarifah Norain tidak diwakili peguam.

Di kamar mahkamah sama, seorang penganggur didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Elesabet kerana menyebarkan berita palsu di Twitter berkaitan kematian akibat Covid-19 awal bulan lepas.

Nur Anati Kamarudin, 28, dituduh menggunakan perkhidmatan rangkaian Twitter dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, menyebarkan berita tidak benar membabitkan dua kes kematian akibat Covid-19 di sebuah kilang di Melaka.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan AP 3 Taman Ara Permai, Batu Berendam pada pukul 9 pagi 3 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, Nur Anati dituduh di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 20 1 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan dalam suatu kesalahan berterusan boleh didenda maksimum RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Melaka, Badius Zaman Ahmad, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh, kerana kes berkenaan serius dan melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman yang ringan memandangkan dia telah dibuang kerja, selain menanggung kedua-dua ibu bapanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS