Mesyuarat jawatankuasa pilihan khas parlimen yang pertama sejak perintah darurat dilaksanakan bermula hari ini dengan perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.
Jawatankuasa itu dijadual bersidang selama satu hari untuk mendengar pandangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai kanan dari Kementerian Sains dan Inovasi (Mosti) yang mengendalikan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, berkata jawatankuasa itu akan mendengar taklimat daripada Noor Hisham dan menyoalna mengenai beberapa keputusan pihak berkuasa.
Katanya pegawai Mosti juga akan ditanya mengenai perkembangan PICK.
"Kami akan berikan puji kepada tindakan yang baik. Ini membantu membina keyakinan masyarakat.
"Kami juga boleh membuat cadangan sekiranya ada jurang yang perlu ditangani,” kata Yii ketika menjelaskan peranan semak dan imbang jawatankuasa terbabit.
Tugas jawatankuasa itu, katanya, adalah untuk mengawasi dan bertanggungjawab kepada kerajaan.
Jawatankuasa itu juga akan mendapatkan penerangan mengenai rancangan dan strategi diambil kerajaan untuk tempoh terdekat dan jangka masa panjang.
Antara lain, Yii berkata, jawatankuasa itu akan bertanya kepada pihak berkuasa apakah langkah-langkah yang akan dilakukan setelah selesainya PICK.
Mesyuarat terbabit akan dilakukan secara langsung di parlimen.
Kata Yii, perbincangan itu tidak boleh diadakan secara dalam talian atau di tempat lain, kecuali perintah tetap dipinda.