Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Asean gesa lindungi pendatang asing dari lonjakan Covid-19
Diterbitkan:  Jul 21, 2021 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) menggesa kerajaan Thailand dan Malaysia menghentikan amalan diskriminasi terhadap pekerja asing ketika pandemik Covid-19, memandangkan ia bukan langkah produktif untuk pulih daripada krisis kesihatan yang sedang melanda.

"Walaupun kita semua terjejas oleh wabak ini, kerajaan mengecualikan pekerja asing daripada polisi sosial dan kesihatan awam sebagai tindak balas mereka, dan meminggirkan mereka yang berjuang untuk hidup.

"Kita tidak akan pulih dari krisis kesihatan ini jika kita tidak memberikan rawatan kepada semua orang, termasuk semua pendatang.

"Polisi kerajaan harus memastikan bahawa mereka memiliki akses yang sama untuk mendapatkan bantuan segera, menjalani ujian, rawatan dan vaksinasi, tanpa rasa takut," kata Mercy Barends, seorang anggota parlimen Indonesia dan Anggota APHR.

Dalam kenyataan mereka, sejumlah anggota parlimen serantau meminta Thailand dan Malaysia memasukkan pekerja asing dalam langkah-langkah perlindungan sosial yang setara dengan warganya, dan memastikan kriteria untuk mengakses perkhidmatan penting tidak dibuat berdasarkan status kewarganegaraan atau pendatang.

"Pendatang asing yang dijangkiti Covid-19 harus segera dirawat dan semua harus diberi akses vaksinasi dengan cara yang sama seperti warga negara," kata APHR.

Minggu lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Khairy Jamaluddin mengarahkan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerima pekerja asing yang telah menerima janji temu vaksin mereka di MySejahtera.

Khairy berkata arahan tersebut dikeluarkan berikutan aduan diterima yang mendakwa pekerja warga asing diarah pulang dari PPV tertentu

Ditanya mengenai jaminan keselamatan terhadap pendatang asing tanpa izin agar tampil untuk divaksin, Khairy berkata Kementerian Dalam Negeri akan membentangkan kertas kabinet "yang lama tertunda" minggu depan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menegaskan adalah "mustahil" untuk memberi vaksin kepada individu yang tidak memiliki dokumen, kerana kesukaran mengetahui status mereka di negara ini.

Ini susulan kenyataan Hamzah mengenai langkah kerajaan menahan pendatang asing semasa perintah kawalan pergerakan (PKP)  yang bermula pada 1 Jun - untuk membantu mereka mendapat vaksin dan "melindungi rakyat Malaysia."

APHR menegaskan pendatang asing di Malaysia menghadapi kesulitan untuk menerima bantuan, manakala serbuan, penangkapan dan penahanan yang berterusan oleh pihak berkuasa menghalang mereka menjalani ujian, rawatan perubatan atau divaksinasi.

"Ketakutan untuk mengakses perkhidmatan penting kemungkinan akan mengakibatkan peningkatan jangkitan yang tidak dapat dikesan yang boleh menjejaskan seluruh masyarakat, termasuk lonjakan kes Covid-19 di pusat penahanan yang penuh sesak dan tidak bersih, seperti yang mereka lakukan tahun lalu," kata APHR.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS