Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Mutakhir ini banyak kita dengar tentang naratif fitnah yang bergentanyangan seumpama hantu-hantu yang tidak bertuan. Ia kemudian berterbangan dan bebas hinggap di merata-rata tempat.

Bagaimanapun kadang-kadang kisah yang awalnya didakwa fitnah kemudian terbukti sebaliknya.

Pun begitu, sebelum sesuatu peristiwa itu dapat dijelaskan akan selalu ada khabar-khabar yang memenangkan pihak yang tertentu. Memang kadang-kadang untuk mengetahui duduk perkara sesuatu itu memerlukan sedikit masa.

Sepanjang tempoh itu kita wajar waras dalam berkata-kata.

Apabila polis mengeluarkan kompaun kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam, isu seorang pemimpin negeri yang katanya mencari kedai untuk membeli makanan tapi kebetulan ada pusat pameran kereta pun terkuaklah.

Mengikut tafsiran pihak berkuasa Sanusi bukan sekadar 'bersiar-siar' di sebelah pemandu Ford Ranger Raptor. Sanusi sudah melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Seorang wanita yang merakam kejadian tersebut sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat yang baik. Di sebalik pelbagai dakwaan, serangan dan kritikan ke atasnya, wanita berkenaan melakukan apa yang patut dibuat oleh seorang warga.

Sanusi pernah menawarkan diri untuk memaafkan wanita berkenaan atas insiden tersebut. Sekarang, yang dikompaun ialah Sanusi, bukan wanita terbabit.

Untuk mengharapkan wanita itu memaafkan Sanusi adalah perkara kedua. Hal yang lebih penting ialah bilakah pemimpin PAS yang hebat itu mahu meminta maaf atas pelanggaran SOP?

Bahkan bukan saja Sanusi yang wajar meminta maaf, malah pegawainya yang sebelum ini gigih mempertahankan pemimpinnya.

Namun sebelum mereka meminta maaf, Sanusi harus membuktikan dia seorang pemimpin berjiwa besar yang mampu mengakui kesilapan. Dia perlu menjadi pemimpin yang membumi dan tawaduk untuk mengakui tiada sesiapa bebas daripada melakukan kesalahan.

Seorang pemimpin perlu berjiwa besar, bukan bercakap besar.

Ketika baru dilantik menjadi khalifah, Sayidina Abu Bakar RA berkata: 

"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, betulkanlah aku. Kebenaran adalah amanah dan dusta itu adalah pengkhianatan. Dan orang yang lemah dalam kalangan kamu semua adalah kuat pada pandanganku, sehingga aku berikan hak kepadanya, insya-Allah. Dan orang yang kuat dalam kalangan kamu adalah lemah pada pandanganku, sehingga aku mengambil kembali hak daripada mereka, insya-Allah."

Terima kasih kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan ke atas menteri besar Kedah. Ia sedikit sebanyak meneguhkan keyakinan orang ramai kepada profesionalisme Polis Diraja Malaysia.


HAFIZZUDDIN RAZIAN ialah ketua Pemuda Amanah Kepong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS