Polis telah menyerahkan kompaun kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada 5 Jun lepas ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh di dalam negara.
Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain bagaimanapun tidak memberitahu berapa nilai kompaun yang dikenakan kepada Muhammad Sanusi kerana didapati memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, di Pulau Pinang pada tarikh berkenaan.
"Kompaun telah diserahkan semalam, nilai kompaun kena tanya kepada Menteri Besar Kedah sendiri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Sebelum ini, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.
Komuniti media sosial kecoh sebelum ini susulan penularan gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta, sedangkan negara berada di bawah Sekatan Pergerakan Penuh dengan pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily memberi amaran kepada orang ramai agar tidak merentas negeri atau daerah di Pulau Pinang bagi menyambut Hari Raya Aidiladha dan pihaknya juga telah mengambil tindakan drastik dengan memperketatkan sekatan jalan raya sejak semalam.
"Pihak polis telah menjalankan 46 sekatan jalan raya di negeri ini dan pada Sabtu lepas sebanyak 30,406 kenderaan telah diperiksa dan 40 kenderaan telah diarah berpatah balik.
"Manakala semalam pula, 25,608 kenderaan telah diperiksa dan 190 daripadanya telah diarahkan berpatah balik kerana pelbagai kesalahan terutama tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk merentas negeri," katanya.
Katanya mana-mana kenderaan yang didapati tidak mempunyai permit daripada pihak berkuasa akan diarahkan untuk berpatah balik dan jika ingkar pihaknya akan mengenakan kompaun kepada mereka.
"Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengurangkan penularan Covid-19 terutama pada musim perayaan ini, bagi mana-mana pihak yang ingin melaksanakan ibadah korban, mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri," katanya.
- Bernama