PULASAN | Jerman dan beberapa negara lain di Eropah sedang dilanda bencana alam. Banjir dan tanah runtuh antaranya. Setakat ini hampir 200 orang sudah disahkan mati dengan kebanyakannya di Jerman.
Semalam Armin Laschet, tiba-tiba meninggalkan mesyuarat penting partinya untuk melawat salah satu kawasan paling teruk terjejas dek bencana tersebut, iaitu bandar Erftstadt.
Erftstadt terletak di negeri Rhine-Westphalia Utara. Laschet ialah gabenor di situ. Memang patutlah dia turun padang. Takkan Laschet bergegas pergi melayan golf pula, kan?
Laschet, 60, ialah ahli politik kanan Jerman yang disebut-sebut akan menjadi canselor negara itu menggantikan Angela Merkel.
Kemudian adalah Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier, melawat kawasan bencana itu.
Steinmeier sedang tekun menjawab soalan-soalan wartawan dalam sidang media untuk menzahirkan simpati dan takziah kerajaan kepada mangsa bencana.
Semasa menjawab soalan-soalan media mengenai bencana malang itu, Laschet berada jauh di belakang bersama beberapa orang yang lain.
Tidak ada apa-apa yang penting berlaku kecuali - kelihatan sayup-sayup saja - dia ketawa semasa Steinmeier bercakap mengenai kejadian malang di negara mereka.
Steinmeier antara lain bercakap mengenai bantuan yang akan didatangkan oleh kerajaan kepada penduduk Erftstadt. Dan Laschet kebetulan sedang ketawa besar jauh di belakang.
Kemungkinan besar dia ketawa kerana hal-hal lain. Biasalah, sedang berbual-bual mengenai sesuatu, boleh saja unsur lucu menyelit di mana-mana.
Alami kesipuan di Jerman
Ada sekurang-kurangnya enam individu lain sedang berdiri di belakang Steinmeier ketika itu. Dan mereka secara umum dalam mood gembira.
Melalui kuasa media sosial dan digital, kejadian tersebut menjadi tular. Ia kemudian mengundang kemarahan ramai. Perasaan begitu sangat mudah difahami kerana mana wajar seorang pemimpin boleh bergelak ketawa ketika rakyat yang banyak menderita.
Tidak lama sesudah itu Muncul tanda pagar #LaschetLacht (#LaschetKetawa) dan menjadi sohor kini di Jerman.
Antara individu yang bertanggungjawab membuat nama Laschet tersohor atas sebab yang salah itu ialah pengarang New Statesman, Jeremy Cliffe. Sudah tentu lensa kamera media yang lain juga dapat menyorot aksi Laschet itu.
Justeru apa yang dilakukan Laschet?
Ketua parti Kesatuan Demokratik Kristian itu tidak mengambil masa yang lama untuk meminta maaf secara terbuka. Dia juga secara jujur mengakui perbuatannya bergelak ketawa itu sebagai tidak wajar.
"Nasib orang ramai yang terjejas - yang kita ketahui melalui pelbagai perbualan - sangat penting untuk semua.
"Maka saya sangat kesal atas segala apa yang timbul daripada situasi perbualan tersebut. Itu memang tidak wajar dan saya minta maaf," tulis Lachet.
Malang bagi Laschet kerana terpaksa berdepan situasi yang menyebabkan dia kesipuan begitu di Jerman.
Kalaulah dia bergiat aktif dalam politik di negara ini, sudah tentu dia akan terselamat daripada aib kerana terpaksa meminta maaf secara terbuka begitu.
Memohon maaf secara terbuka bukanlah amalan politik matang dan sejahtera untuk sebuah negara maju seperti Malaysia. Ia hanya amalan ketinggalan zaman yang sesuai untuk ahli politik di negara mundur seperti Jerman.
Lagi pun Laschet ada asas ilmu undang-undang kerana itulah disiplin ilmu yang didalaminya semasa muda sebelum menceburi politik secara langsung.
Ada banyak dalih yang boleh digunakan Laschet untuk memadam arang yang terpalit di mukanya. Dan dia sepatutnya mempunyai ramai pembantu, pegawai atau pengikut yang boleh memberikan sejuta dalil bagi mensakralkan seorang pemimpin.
Lagi pun, apa sangatlah ketawa di kejauhan sana. Ketawa bukanlah suatu dosa. Kalau ada yang salah pun, ia cuma menyalahi adab kesopanan bermasyarakat.
Sepatutnya Laschet boleh membuktikan dia seorang ahli politik berjiwa sangat besar dengan menyatakan kesediaannya memaafkan semua orang yang memarahi dia ketawa, termasuk Cliffe.
Tapi itulah. Laschet itu tiada ilmu membelat sungai. Dia juga akhirnya nanti apabila mati akan masuk neraka jua.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang takut dikenakan kompaun.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.