Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CITF: Bukan semua PPV terlibat inisiatif vaksin tanpa temu janji
Diterbitkan:  Jul 19, 2021 1:32 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Bukan semua pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang akan terlibat dalam inisiatif 'walk in' tanpa temu janji yang akan bermula Ogos ini, menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).

Kenyataan itu bagi menyangkal mesej yang tular sebelum ini berkenaan senarai 56 PPV yang didakwa boleh dikunjungi orang ramai tanpa membuat temu janji bagi menerima suntikan vaksin mereka.

"CITF ingin memaklumkan bahawa PPV yang akan beroperasi untuk tujuan walk in pada Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak.

"PPV yang ada sekarang tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif ini," kata CITF.

Selain senarai 56 PPV, mesej itu juga menyatakan jenis-jenis vaksin yang akan diberi di setiap PPV.

Ia juga mendakwa semua penduduk Selangor dan Kuala Lumpur berusia 18 tahun ke atas yang masih tidak mendapat vaksin boleh terus pergi ke PPV tersebut untuk mendapatkannya.

Bagaimanapun, CITF menegaskan inisiatif walk ini tersebut hanya untuk mereka yang belum mendapat janji temu selepas 1 Ogos ini.

"Contohnya mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan seperti yang diterangkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada 16 Julai lalu.

"Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang telah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat. Individu yang masih belum mendaftar tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin," kata CITF lagi.

Terdahulu, Khairy menjelaskan inisiatif itu dimulakan pada 17 Julai lalu melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temu janji.

Selepas itu, ia akan diperluaskan kepada penduduk yang telah mendaftar dengan matlamat mereka akan sekurang-kurangnya mendapat dos pertama menjelang 1 Ogos.

Kemudian, ia akan dibuka kepada semua golongan dewasa yang belum mendaftar atau tiada dalam rekod, seperti pendatang asing tanpa dokumen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS