Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perlu kemuka ujian Covid-19 sebelum masuk Kelantan

Perjalanan masuk Kelantan perlu mengikuti syarat tambahan dengan mengemukakan hasil ujian saringan Covid-19 yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum memulakan perjalanan selain mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa.

Perkara itu dikuatkuasakan selama seminggu bermula semalam selepas diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Menerusi notis pekeliling yang ditandatangani Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan, Mohd Roshdi Ismail, memaklumkan pendekatan itu diambil bagi memastikan individu yang memasuki Kelantan bebas Covid-19.

"Ujian saringan Covid-19 sekurang-kurangnya jenis sama ada RTK-Antigen atau RT-PCR.

"Sekiranya ujian ini tidak dilaksanakan, maka mereka perlu berbuat demikian di sempadan negeri Kelantan iaitu Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa," maklum notis tersebut.

Difahamkan pendekatan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga susulan kebimbangan berlaku peningkatan orang ramai ke negeri itu menjelang sambutan hari raya Aidiladha Selasa ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin berkata pihaknya sudah menempatkan petugas kesihatan di empat pintu masuk ke Kelantan.

"Setakat ini pelaksanaan prosedur itu dilakukan selama seminggu bermula esok.

"Kita akan melihat hasil daripada pendekatan yang diambil ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS