Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perantau Kelantan diminta patuh titah sultan, jangan pulang beraya'

Kerajaan Kelantan meminta supaya rakyat di perantauan tidak pulang ke kampung semata-mata untuk menyambut hari raya Aidiladha.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata, ia bagi mengelak berlakunya jangkitan Covid-19 selain kewujudkan kluster akibat pergerakan rentas negeri seperti mana berlaku pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Duli Tuanku Sultan Kelantan Sultan Muhamamd V juga sudah bertitah supaya tidak melakukan rentas negeri untuk sambutan Aidiladha ini.

"Kita minta kerjasama semua perantau supaya patuh dan tidak pulang ke kampung. Bukan tidak suka mereka pulang, sebaliknya mahu semua pihak mengambil iktibar selepas Aidilfitiri lalu.

"Kluster terbaru di Kelantan juga disebabkan pergerakan rentas negeri. Jadi saya mohon perantau sabar sekejap dan memikirkan keselamatan semua termasuk ibu bapa," katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan media yang menyatakan berlaku peningkatan kemasukan kenderaan ke negeri itu melalui pintu sempadan utara di Jeli.

Terdahulu Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menitahkan agar rakyat Kelantan memberi kerjasama dengan mematuhi SOP dan tidak pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidiladha pada Selasa ini.

Sementara itu Mohd Amar berkata, ada juga mereka yang mengambil kesempatan dengan memberi pelbagai alasan termasuk menipu supaya dibenarkan rentas negeri.

"Masalahnya pula apabila ada yang sanggup menipu semata-mata nak balik. Sebahagian daripada kita tak jujur. Itu yang masalahnya.

"Kerajaan mengenakan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang betul. Tetapi bila kita tak jujur, itulah masalah. Kita kata ada sakitlah, matilah contohnya.

"Selepas itu sesetengah yang kita tahu masuk dalam hutan ikut jalan lorong tikus. Jadi sebab itu kami minta rakyat jaga diri masing-masing. Sebab rakyat ini apa yang berlaku sekali pun mereka salahkan kerajaan, sedangkan ada juga kesilapan kita sebagai rakyat yang tidak mematuhi SOP," tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Amar berkata, kerajaan Kelantan mengenakan syarat baru kepada mereka yang mahu masuk ke negeri itu iaitu perlu melakukan ujian saringan Covid-19.

"Disebabkan itu, Kelantan mengenakan syarat mereka yang masuk ke Kelantan perlu mempunyai surat jaminan ujian swab yang dilakukan dalam tempoh 72 jam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS