mk-logo
Berita
Polis tahan 18 warga China disyaki terlibat sindiket tipu dalam talian
Diterbitkan:  Jul 17, 2021 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Polis menahan 18 individu warga China disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian yang mampu mengaut keuntungan sehingga RM300,000 sebulan, dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu pejabat Polis Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata kesemua suspek dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan lepas dengan menyasarkan warga China sebagai mangsa.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan di beberapa premis yang disyaki menjalankan aktiviti penipuan dalam talian, menerusi kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam siri Operasi Pelican.

“Hasil daripada siri serbuan itu pelbagai peralatan digunakan dalam aktiviti ini termasuk telefon bimbit, komputer, alat-alat elektronik dan wang tunai berjumlah RM126,000 berjaya dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azri berkata pihak JIPS akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat penglibatan anggota dan pegawai polis dalam aktiviti berkenaan. manakala siasatan dari sudut jenayah dan Akta Imigresen dilaksanakan oleh polis Kuala Lumpur,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS