Empat belas bendera hitam berkibar dan lima patung mayat berbalut kain kafan putih dibentangkan di Dataran Merdeka tanda bantahan 'flash mob' anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) hari ini.
Pada satu kenyataan, kumpulan itu berkata patung mayat tersebut menunjukkan peningkatan jumlah kematian akibat Covid-19, serta kes bunuh diri.
Di samping patung itu, sepanduk bertulis "Kita mati dalam derhaka" dengan hashtag #keluardanlawan.
Sepanduk itu berilhamkan puisi nukilan Kassim Ahmad, Dialog yang berakhir dengan ayat: "Kian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka!"
Sementara itu, empat belas bendera hitam lambang "kemarahan rakyat" di semua negeri dan Wilayah Persekutuan yang ditunjukkan pada tanda pagar #lawan dan #KerajaanGagal di media sosial.
"Kami menegaskan bahawa kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional dalam membendung pandemik Covid-19 telah gagal malah nasib rakyat yang mengangkat bendera putih dihina bahkan angka Covid-19 semakin meruncing dan meningkat.
"Sikap perdana menteri dan menteri-menteri kerajaan yang terus menerus menyindir kempen solidariti bendera putih rakyat adalah sangat tidak peka dan prihatin keluh kesah rakyat yang sedang terhimpit dan tertekan akibat tiada pendapatan atau mati akibat terkena jangkitan Covid-19.
"Dan perdana menteri masih boleh buat lawak bodoh untuk menaikkan bendera biru," kata SSR.
Kenyataan ini merujuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berkata rakyat tidak perlu mengibarkan bendera putih, memandangkan bantuan secara bersasar akan disampaikan kepada sebahagian kumpulan bersasar yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
“Tak payah naik bendera putih ke hitam. Nak naik bendera biru tak apa. Maksud saya tadi, kita tahu di mana (perlukan bantuan) dan kementerian ada rekod,” kata Muhyiddin pada 15 Julai.
Dalam pada itu SSR pada kenyataannya mengemukakan tiga tuntutan, iaitu mendesak Muhyiddin mengundurkan diri, sidang parlimen penuh yang bukan hanya "ceramah kerajaan", dan moratorium automatik diperluas kepada semua orang.
Parlimen akan bersidang pada 26 Julai selama lima hari. Walau bagaimanapun, takwim Dewan Rakyat yang diberikan menunjukkan sebahagian besar sesi akan dihabiskan untuk taklimat mengenai situasi Covid-19 daripada kerajaan.
Sementara itu, moratorium pinjaman tersedia untuk semua orang, tetapi berdasarkan permohonan. Pengkritik juga menimbulkan soal faedah pinjaman akan bertambah sepanjang tempoh moratorium.
SSR seterusnya menggesa masyarakat untuk memakai pakaian hitam untuk menunjukkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan PN.
Tunjuk perasaan itu berlangsung sekitar 40 minit dan polis dilihat hadir memantau situasi.
Namun, tidak ada tangkapan dilakukan, dan polis hanya mengambil gambar kad pengenalan salah seorang penganjur.
Dalam satu kenyataan kemudian, polis mengatakan pihaknya telah mengenal pasti tiga penganjur dan akan memanggil mereka untuk disoal siasat.
Bantahan itu disiasat bawah Peraturan-Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun.