Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mahu speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memastikan masa yang mencukupi untuk perbahasan dalam persidangan Parlimen akan datang.
Ia ekoran takwim parlimen menunjukkan persidangan Dewan Rakyat lima hari yang bermula pada 26 Julai akan disi sepenuhnya oleh taklimat menteri.
Anwar memaklumkan yang dia telah menulis sepucuk surat kepada Azhar meminta agar dia memastikan bahawa ruang secukupnya diberikan kepada anggota parlimen untuk berdebat, terutama mengenai pandemik Covid-19.
"Perkara ini mustahak bagi membincangkan hal-hal mendesak tatkala negara berhadapan dengan keadaan yang sangat mencabar dan rumit saat ini.
"Ingin ditekankan, keberkesanan perlaksanaan program-program kerajaan dalam mendepani pandemik Covid-19 hanya akan dapat diketahui serta ditambah baik apabila ahli-ahli parlimen diberi ruang menyuarakan cadangan dan pandangan semasa perbahasan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli parlimen pembangkang telah menyatakan kebimbangan sekiranya kerajaan akan mengubah sidang parlimen yang akan datang tidak lebih daripada sekadar sesi taklimat.
Kebimbangan mereka muncul setelah takwim parlimen dikeluarkan menunjukkan sesi taklimat selama lima hari.
Kerajaan sebelum ini enggan untuk mengadakan sidang parlimen sebelum berakhirnya darurat pada bulan Ogos tetapi mengubahnya selepas Yang Di-Pertuan Agong mahukan parlimen bersidang "secepat mungkin."