Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan sumbang kontena mayat pada Hospital Selayang
Diterbitkan:  Jul 17, 2021 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Seorang ahli perniagaan hari ini menyumbangkan sebuah kontena khas untuk menempatkan mayat pesakit Covid-19 kepada Hospital Selayang, Selangor.

Ini selepas media melaporkan hospital itu membuat rayuan bagi memohon kontena tambahan setelah tidak dapat menampung jumlah mayat ketika ini akibat peningkatan kes kematian Covid-19.

N Thirumurthi, 54 yang berasal dari Shah Alam berkata dia menyumbangkan sebuah kontena sepanjang 40 kaki berharga RM34,000 untuk dijadikan bilik mayat.

"Semalam saya diberitahu oleh beberapa rakan saya bahawa kekurangan ruang simpanan di Hospital Selayang untuk pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.

"Saya segera menghubungi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Mohd Shafiq Abdullah untuk mendapatkan kebenaran untuk menghantar kontena tersebut.

"Beliau segera memberi kelulusan. Sumbangan saya ini adalah satu penghargaan kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita di Hospital Selayang hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Perubatan I) Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen Tengku Sharif menerima kontena tersebut bagi pihak hospital dan mengucapkan penghargaan kepada ahli perniagaan berkenaan.

"Kita harap proses pengurusan mayat dapat dijalankan lebih lancar selepas ini," katanya.

Semalam Utusan Online memetik sumber dalaman mendakwa hospital itu kekurangan ruang untuk menampung peningkatan jumlah kematian akibat wabak Covid-19.

Laporan itu juga melaporkan rayuan pihak hospital yang memohon kontena mayat tambahan.

"Tak ada tempat dah," kata sumber dalaman Hospital Selayang yang enggan dinamakan.

Sementara itu, seorang lagi Ahli perniagaan Jeyenderan Ramasamy, 46 berkata dia turut menyediakan satu kontena mayat untuk disumbang kepada mana-mana hospital.

"Saya telah pun menyediakan satu kontena untuk disumbang. Sedang menunggu pelepasan daripada pihak KKM.

"Bila dapat kelulusan, kontena itu akan dihantar ke mana-mana hospital yang kini menghadapi kekurangan ruang untuk menampung mayat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS