Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Vaksinasi surutkan gelombang kes serius Covid-19
Diterbitkan:  Jul 17, 2021 1:36 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata langkah vaksinasi Covid-19 terhadap warga emas nampaknya membuahkan hasil apabila insiden gejala teruk pesakit menurun.

Muhyiddin berkata inilah sebabnya pelancaran Operasi Surge Capacity, bertujuan memberikan sekurang-kurangnya dos pertama vaksin kepada semua orang dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Ini adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di Selangor dan KL.

"Data-data menunjukkan kes-kes Covid-19 yang serius mencatat penurunan yang ketara dengan pemberian vaksin," katanya pada satu kenyataan.

Muhyiddin memberi contoh kemasukan pesakit ke wad rawatan Hospital Sungai Buloh.

"Dalam kalangan kumpulan warga emas (60 tahun ke atas), trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori 4 dan 5 telah mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan yang lepas.

"Kumpulan warga emas adalah fasa 2 dalam pemberian vaksin Covid-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat," jelasnya.

Pesakit Kategori 1 dan 2 mengalami gejala yang lebih ringan, Kategori 3 mengalami beberapa jenis radang paru-paru tetapi masih boleh bernafas sendiri, mereka yang berada di Kategori 4 memerlukan bekalan oksigen manakala pesakit Kategori 5 memerlukan ventilator untuk bernafas.

Menurut Muhyiddin lagi, kesan positif vaksin Covid-19 juga diperhatikan di kalangan petugas kesihatan.

"Didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti Covid-19 selepas lengkap divaksinasi.

"Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami Covid-19 kategori 5.

"Satu lagi contoh ialah Labuan, iaitu tempat di mana varian delta mula dikesan di negara kita. Kerajaan telah mengambil tindakan segera dengan menambah bekalan vaksin untuk Labuan.

"Hasilnya, jumlah kes positif dan kes kematian akibat Covid-19 di Labuan telah dapat dikurangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi," katanya.

Kes Covid-19 baru setiap hari di negara ini mencecah 10,000 pada 13 Julai dan masih berada di atas angka ambang tersebut.

Pun begitu, jumlah pesakit di unit rawatan rapi menurun bawah 900 sejak puncak jangkitan 972 pesakit di ICU.

Jumlah kematian, sebahagian besar di Lembah Klang, masih tinggi. Negara ini mencatatkan lebih 100 kematian Covid-19 setiap hari selama lima hari berturut-turut.

Kerajaan sedang berusaha mempercepat vaksinasi di Lembah Klang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS