Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid darjah lima maut disengat tebuan
Diterbitkan:  Jul 17, 2021 12:09 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Seorang murid lelaki tahun lima Sekolah Kebangsaan Minda Talong maut selepas disengat seekor tebuan di kediaman keluarganya di Kampung Minda, Hulu Dungun di Dungun, semalam.

Bapa mangsa Mohd Nazuki Mat Jusoh, 42, berkata anak keduanya Rayyan Fitri Mohd Nazuki, 11, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira pukul 2.30 petang semalam sebaik tiba di Klinik Kesihatan Bukit Besi di Dungun untuk menerima rawatan.

“Kira-kira pukul 2 petang tadi Rayyan sedang bermain telefon bimbit bersama kakaknya, Khalis Najla, 13, di dalam bilik tidur sebelum disengat seekor tebuan di tangan kanannya.

“Waktu itu saya baru balik solat Jumaat, tiba-tiba saya lihat Rayyan sedang menangis sambil berjalan lemah ke tandas dan hampir rebah. Mujur saya sempat sambut dia daripada terjatuh,” katanya ketika dihubungi.

Katanya beliau dimaklumkan oleh anak sulungnya Khalis Najla bahawa Rayyan Fitri telah disengat tebuan dan mengadu sakit kepala serta berasa panas di seluruh tubuh sebelum kakaknya itu menyuruhnya mandi untuk menyejukkan badan.

Mohd Nazuki berkata melihatkan keadaan Rayyan Fitri itu beliau bersama bapa mertuanya, Sudin Ripin, 63, bergegas menghantar anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.

Tambahnya tahun lepas anak bongsunya Darwisy Ihsan, 7, juga pernah disengat tiga ekor tebuan di rumah mereka tetapi sempat dibawa ke klinik dan menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan mayat mangsa kini berada di Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS